Skip to main content

Dunia

Seniman tersohor Jepun Yayoi Kusama meninggal dunia pada usia 97 tahun

FILE PHOTO: Artist Yayoi Kusama poses for a photograph with a detail from her artwork "Love arrives at the Earth Carrying with it a Tale of the Cosmos" at the Tate Modern gallery in London, Britain, February 7, 2012. REUTERS/Luke MacGregor/File Photo
Kusama ketika bergambar bersama sebahagian karya beliau bertajuk Love arrives at the Earth Carrying with it a Tale of the Cosmos di galeri Tate Modern, London, Britain. - Foto REUTERS
Advertisement

TOKYO: Yayoi Kusama, seniman avant-garde Jepun yang terkenal di seluruh dunia menerusi karya bertemakan titik polka, labu gergasi dan instalasi cermin infiniti, meninggal dunia pada usia 97 tahun.

Berita kematiannya diumumkan oleh studio beliau selepas Kusama dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Tokyo pada 14 Ogos lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan studio beliau, Kusama terus menghasilkan karya seni sehingga ke penghujung hayatnya dan tidak pernah meninggalkan dunia seni yang menjadi tumpuan sepanjang hidupnya.

Kenyataan itu menyifatkan beliau sebagai pelopor seni avant-garde yang berkarya merentasi pelbagai medium termasuk seni visual, persembahan, fiksyen dan puisi.

Laporan The Guardian menyifatkan Kusama sebagai antara tokoh seni paling berpengaruh pada era moden, yang berjaya meraih status bintang global selepas puluhan tahun hidup secara sukarela di sebuah hospital psikiatri di Tokyo.

Walaupun sering bergelut dengan masalah kesihatan mental sejak kecil, beliau menjadikan pengalaman itu sebagai sumber inspirasi utama dalam penghasilan karyanya.

Dilahirkan di Matsumoto pada 1929, Kusama mula mengalami halusinasi ketika kanak-kanak, termasuk melihat corak bunga memenuhi ruang di sekelilingnya.

Pengalaman tersebut kemudiannya membentuk konsep "self-obliteration" atau "pelupusan diri" yang menjadi tema berulang dalam karya-karyanya.

Menurut The Guardian, beliau meluahkan pengalaman itu menerusi lukisan sebagai cara mengatasi gangguan yang dialaminya.

Kusama berhijrah ke New York pada 1958 bagi mengejar kerjaya seni sebelum mencipta nama menerusi siri lukisan Infinity Nets, yang menampilkan corak titik berulang pada kanvas berskala besar.

Beliau kemudian menghasilkan pelbagai karya seni berbentuk instalasi dan arca yang menggabungkan penggunaan cermin, warna terang serta motif polka yang akhirnya menjadi identiti seninya.

Sepanjang dekad 1960-an, beliau turut mencetuskan kontroversi menerusi persembahan seni eksperimental dan aktivisme anti perang, termasuk menganjurkan acara seni melibatkan peserta yang dicat dengan corak polka serta mengkritik perang Vietnam.

Namun, menurut The Guardian, banyak sumbangan awal beliau tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya ketika itu, dan Kusama sering mendakwa idea seninya ditiru oleh beberapa artis lelaki terkenal yang lebih dominan dalam dunia seni.

Kesihatan mental yang semakin merosot menyebabkan beliau kembali ke Jepun pada 1970-an sebelum memilih untuk menetap secara tetap di sebuah hospital psikiatri pada 1977.

Walaupun begitu, beliau terus berkarya setiap hari di studionya yang terletak berhampiran hospital berkenaan.

Pengiktirafan antarabangsa yang sekian lama dinantikannya mula diraih pada tahun 1990-an, termasuk menerusi penyertaan di Venice Biennale dan siri Infinity Mirror Rooms yang menjadi fenomena global.

Karya-karyanya menarik jutaan pengunjung dan menjadi antara instalasi seni paling popular di era media sosial kerana pengalaman visual yang unik dan imersif.

Sepanjang kerjayanya, Kusama menerima pameran retrospektif di beberapa institusi seni terkemuka dunia termasuk Museum of Modern Art (MoMA) di New York, Tate Modern di London dan Muzium Hirshhorn di Washington.

Tiket pamerannya sering habis dijual dalam masa singkat, dengan peminat sanggup beratur berjam-jam untuk menikmati pengalaman singkat di dalam instalasinya.

Kematian Kusama menandakan berakhirnya perjalanan seorang seniman luar biasa yang menukar pengalaman peribadi dan perjuangan kesihatan mental menjadi karya yang memberi kesan mendalam kepada dunia seni kontemporari.

 

 

Must Watch Video

Advertisement