DHAKA: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala ratusan lagi cedera dalam tunjuk perasaan di Dhaka pada Jumaat apabila polis Bangladesh melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penyokong pembangkang.

Memetik laporan The Manila Times, ketegangan memuncak selepas pembangkang Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) mengadakan perhimpunan besar-besaran memaksa Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan, Sabtu lalu.

Jurucakap pembangkang Shahiduddin Chowdhury Annie berkata polis melepaskan tembakan ke arah kira-kira 5,000 penyokong yang berkumpul secara aman di luar pejabat utama BNP di tengah Dhaka.

"Kami tidak menghalang lalu lintas. Tetapi polis tiba-tiba menyerang, melepaskan tembakan ke arah aktivis dan penyokong kami.

"Sekurang-kurangnya 100 orang cedera," kata Shahiduddin.

Dalam pada itu, BNP mendakwa sekurang-kurangnya dua aktivis mereka termasuk seorang ketua pelajar terbunuh ditembak polis.

Rakaman secara langsung yang dikongsi di halaman Facebook BNP turut memaparkan aktivis parti yang cedera terbaring di tangga pejabat.

Rizvi Ahmed, jurucakap parti lain, berkata sekurang-kurangnya 1,430 aktivis dan penyokong BNP telah ditahan sejak 30 November dalam usaha untuk menghalang perhimpunan itu berterusan.

Ini kerana parti itu mahu Hasina segera meletakkan jawatan dan melantik pentadbiran sementara untuk mentadbir sehingga pilihan raya baharu diadakan.

Pemerhati bebas berkata sejak dua pilihan raya umum lalu, BNP jatuh kerana ditipu oleh kerajaan Hasina.