Skip to main content

Dunia

Sepanyol laksana pemeriksaan sempadan terhadap pelancong Itali susulan krisis Ceuta

Sumber: Adobe Stock
Di bawah peraturan baharu itu, pelancong yang tiba dari Itali menerusi pelabuhan dan lapangan terbang akan menjalani pemeriksaan secara rambang sehingga 7 September.
Advertisement

MADRID/ROM: Sepanyol mula melaksanakan pemeriksaan sempadan terhadap pelancong yang tiba dari Itali pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap kawalan sempadan yang dikenakan Rom ke atas pelancong dari Sepanyol susulan krisis migran di Ceuta.

Di bawah peraturan baharu itu, pelancong yang tiba dari Itali menerusi pelabuhan dan lapangan terbang akan menjalani pemeriksaan secara rambang sehingga 7 Sept, lapor agensi berita Jerman dpa.

Langkah itu diambil selepas kerajaan berhaluan kanan pimpinan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni memperkenalkan pemeriksaan terhadap pelancong dari Sepanyol awal bulan ini susulan kemasukan puluhan ribu migran ke wilayah Ceuta milik Sepanyol dari Maghribi.

Bagaimanapun, menurut laporan awal, pemeriksaan yang dilaksanakan Sepanyol dilihat lebih bersifat simbolik dan tidak terlalu ketat, sekurang-kurangnya bagi warga Kesatuan Eropah (EU).

Seorang pelancong dari Itali memberitahu penyiar nasional Sepanyol, RTVE, di lapangan terbang Madrid bahawa pengumuman dibuat dalam pesawat supaya penumpang bersedia dengan dokumen pengenalan diri sebelum turun dari pesawat.

Menurutnya, pegawai Sepanyol menunggu penumpang di hadapan pesawat.

Pelancong itu berkata beliau memegang pasport Italinya secara jelas dan dibenarkan melepasi pemeriksaan tanpa penelitian lanjut.

"Pegawai polis itu melihat kami mempunyai pasport. Dia tidak memeriksanya, dia hanya melihat kami memilikinya dan sebab itulah kami dibenarkan melepasi pemeriksaan," kata wanita itu.

Kerajaan berhaluan kiri Sepanyol mengumumkan langkah berkenaan pada Jumaat selepas Meloni enggan menarik balik kawalan sempadan yang dikenakan ke atas pelancong dari Sepanyol sejak 1 Ogos.

Itali dan Sepanyol tidak berkongsi sempadan darat, justeru pemeriksaan yang diperkenalkan kedua-dua negara hanya melibatkan perjalanan laut dan udara.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement