DUNIA
Sepanyol luluskan undang-undang embargo senjata terhadap Israel

Cuerpo berkata kerajaan akan membentangkan laporan suku tahunan bagi memastikan langkah itu dipatuhi. - Foto X Cuerpo
MADRID: Kerajaan Sepanyol meluluskan satu dekri undang-undang pada Selasa bagi mengukuhkan secara sah embargo senjata sepenuhnya terhadap Israel serta melarang penggunaan pelabuhan dan ruang udara Sepanyol bagi transit bahan api yang boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan, lapor Xinhua.
Langkah itu merupakan antara sembilan inisiatif yang diumumkan awal bulan ini oleh Perdana Menteri Pedro Sanchez.
"Kami mengukuhkan embargo senjata sepenuhnya terhadap Israel serta larangan import produk dari penempatan haram Israel di Palestin," kata Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Perniagaan Carlos Cuerpo pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet yang disiarkan oleh televisyen awam Sepanyol, TVE.
Berdasarkan dekri itu, Sepanyol akan mengharamkan penjualan peralatan pertahanan dan produk dwi guna kepada Israel, serta melarang import dan pengiklanan barangan atau perkhidmatan yang berasal dari penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki. Pelabuhan dan lapangan terbang Sepanyol juga akan ditutup kepada penghantaran bahan api yang berpotensi digunakan oleh tentera Israel.Cuerpo berkata kerajaan akan membentangkan laporan suku tahunan bagi memastikan langkah itu dipatuhi.
Undang-undang Dekri itu berkuat kuasa serta-merta tetapi perlu disahkan oleh Kongres dalam tempoh 30 hari untuk kekal sah.
Sanchez, yang kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), turut mengulangi gesaan Sepanyol supaya dunia mengiktiraf kenegaraan Palestin sebagai sebahagian daripada penyelesaian dua negara.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami