Sepanyol mengumumkan yang ia telah berjaya mengurangkan kos hutangnya daripada empat peratus dalam 2011 kepada 3.91 peratus pada tahun lalu.

Bagi tahun ini pula, ia merancang membelanjakan antara 215 dan 230 bilion Euro untuk membiaya semula hutang-hutang awamnya termasuk di wilayah autonominya.

Setiauasaha Agung Perbendaharaan Sepanyol dalam satu sidang media memberitahu dengan perkembangan positif itu, Madrid diyakini dapat membayar semula 15 peratus daripada hutangnya setiap tahun.

Menurut Fernandez De Mesa, perbendaharaan kini selesa dengan jumlah pembayaran semula itu asalkan hutang awamnya kekal tidak melebihi enam peratus daripada keluaran dalam negara kasarnya.

Sepanyol kini sedang bergelut dengan masalah hutang terkumpul sebanyak 145 bilion Euro dengan ekonomi negara itu terjerumus ke dalam kemelesetan teruk selama tiga tahun.

Ia susulan sejumlah bank di negara itu yang terpaksa berhutang akibat merudumnya harga dan aset hartanah sejak 2008.

Selain itu Madrid juga berdepan masalah penggangguran tinggi, iaitu hampir 25 peratus atau satu dari lima warganya tidak mempunyai kerja.