Skip to main content

Dunia

Serangan baharu di Asia Barat, minyak mentah Brent naik 3 peratus

FILE PHOTO: A model of an oil pump is seen in front of the OPEC logo in this illustration taken January 9, 2026. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration/File Photo
Brent telah melonjak lebih enam peratus setakat minggu ini apabila ketegangan baharu di sekitar Selat Hormuz menimbulkan semula kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan terhadap bekalan tenaga global. - Gambar hiasan/ Reuters
Advertisement

ISTANBUL: Minyak mentah Brent meningkat lagi pada Rabu selepas tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara baharu di Iran dan membatalkan pelepasan yang telah membenarkan Tehran menjual minyak mentah di pasaran global, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Penanda aras antarabangsa meningkat lebih 3.3 peratus kepada $US76.6 setong setakat 0600GMT.

Brent telah melonjak lebih enam peratus setakat minggu ini apabila ketegangan baharu di sekitar Selat Hormuz menimbulkan semula kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan terhadap bekalan tenaga global.

Jabatan Perbendaharaan AS berkata pada Selasa, Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) membatalkan Lesen Am X berkaitan Iran, yang telah membenarkan pengeluaran, penghantaran dan penjualan minyak Iran di bawah perjanjian sementara Washington dengan Tehran.

Tindakan itu dibuat selepas beberapa siri serangan baru-baru ini ke atas kapal yang transit di Selat Hormuz, termasuk pengangkut gas cecair asli (LNG) Qatar dan kapal tangki minyak Saudi, menimbulkan kebimbangan bahawa pemilik kapal dan pengeluar serantau mungkin mengelak laluan air penting itu.

Seorang pegawai AS memberitahu CNBC tindakan Iran di selat berkenaan adalah "sepenuhnya tidak boleh diterima" oleh Washington dan akan menerima akibat.

Selat Hormuz adalah antara laluan air tenaga utama dunia, yang dilalui sejumlah besar minyak mentah, produk petroleum dan LNG. 

Perkembangan terkini menyebabkan perubahan mendadak daripada jangkaan awal lebihan bekalan, selepas langkah Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) menaikkan kuota pengeluaran dan pengeluar Timur Tengah berusaha untuk meningkatkan keluaran. 

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement