KYIV: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan 18 lagi cedera selepas bom gelongsor Rusia mengenai dua buah bas penumpang di bandar Kramatorsk, timur Ukraine, pada Khamis.
Menurut pihak berkuasa Ukraine, serangan itu dipercayai sengaja menyasarkan orang awam di bandar yang terletak kira-kira 20 kilometer dari barisan hadapan peperangan.
Ketua Pentadbiran Wilayah Donetsk, Vadym Filashkin, menuduh Rusia sengaja menyasarkan bas yang dipenuhi penumpang bagi meningkatkan jumlah korban.
Susulan serangan itu, perkhidmatan pengangkutan awam di Kramatorsk dan bandar berhampiran, Sloviansk, digantung sementara.
Pihak berkuasa Ukraine mendakwa Rusia kini meningkatkan serangan terhadap rangkaian pengangkutan negara itu, termasuk kereta api, bas, jambatan, stesen minyak dan pelabuhan.
Penganalisis politik Ukraine, Volodymyr Fesenko, berkata taktik baharu itu bertujuan melumpuhkan sistem pengangkutan negara selain memberi tekanan psikologi kepada penduduk.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seramai 15,280 orang awam terbunuh atau cedera di Ukraine dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, meningkat 55 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Sepanjang konflik, Rusia berulang kali menafikan tuduhan bahawa pihaknya menyasarkan orang awam. Namun, Ukraine mendakwa serangan terhadap infrastruktur awam semakin kerap berlaku ketika perang memasuki tahun kelima.
Kereta api dan pengangkutan awam kini menjadi talian hayat utama rakyat Ukraine berikutan ruang udara negara itu ditutup sejak pencerobohan besar-besaran Rusia pada 2022.