KIEV: Pihak berkuasa Ukraine melaporkan sekurang-kurangnya 38 orang, termasuk 12 kanak-kanak cedera dalam serangan peluru berpandu Rusia pada Selasa.

Serangan itu didakwa menyasarkan sebuah upacara pemakaman tentera di wilayah timur laut di Kharkiv.

Rakaman televisyen di bandar Pervomaiskyi memaparkan sebuah bangunan kediaman sembilan tingkat hampir musnah dalam serangan.

Gabenor wilayah, Oleh Synehubov menyatakan bahawa peluru berpandu jenis Iskander telah meluru ke kawasan perumahan di Pervomaiskyi pada jam 1.35 petang waktu tempatan.

Serangan tersebut merosakkan kediaman yang dihuni sekitar 2,000 orang di bandar tersebut.

Pendakwa raya memaklumkan bahawa kanak-kanak yang paling muda di antara 38 orang yang cedera dalam serangan itu berusia tiga bulan.

Selain itu, Maksym Zhorin, bekas pemerintah unit tempur yang dikenali sebagai Batalion Azov, berkata bahawa bandar tersebut disasarkan ketika orang ramai berkumpul untuk upacara pemakaman Oleh Fadeenko, yang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran di Bakhmut, timur Ukraine.

Bagaimanapun, Moscow tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai serangan tersebut.