LONDON: Serpihan enjin yang pecah menyebabkan tingkap sebuah pesawat Ryanair berkecai dan mengakibatkan kepala serta bahu kanan seorang penumpang tersedut keluar sebahagiannya ketika penerbangan dari Greece ke Jerman bulan lalu, menurut laporan awal pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS (NTSB) berkata insiden itu berlaku selepas bilah kipas enjin kanan patah sejurus pesawat berlepas dari Thessaloniki, Greece, pada 10 Julai lalu.
Penumpang terbabit, Ljubisa Karovic, warga Serbia, mengalami kecederaan serius dan berada dalam keadaan terkejut selepas kepala serta bahu kanannya tersedut keluar melalui tingkap yang rosak.
Isterinya, Svetlana Grkovic Maksimovic, sebelum ini memberitahu BBC Serbia bahawa beliau bersama dua penumpang lain memegang kaki Karovic selama beberapa minit bagi mengelakkannya daripada tersedut lebih jauh keluar dari pesawat.
Menurut laporan NTSB, kru penerbangan menerima amaran gegaran tinggi pada enjin ketika pesawat sedang mendaki.
Selepas gegaran bertambah kuat dan satu letupan kuat kedengaran, juruterbang mengisytiharkan kecemasan sebelum berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Thessaloniki dan mendarat dengan selamat.
Krew kabin turut melaporkan mereka mendengar serta merasai gegaran kuat selain melihat sedikit asap sebelum topeng oksigen dikeluarkan.
Pemeriksaan awal mendapati enjin pesawat berkenaan telah menjalani ujian ultrasonik pada Mei lalu dan tiada kerosakan dikesan ketika itu.
Pesawat tersebut dikendalikan oleh Malta Air, anak syarikat Ryanair, manakala siasatan lanjut mengenai punca kegagalan enjin masih dijalankan.