ISTANBUL: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio dan Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov bertemu pada Rabu di New York, Amerika Syarikat di luar persidangan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Anadolu Ajansi.
Perbincangan bermula tanpa kenyataan pembukaan kepada media dan diteruskan secara tertutup. Lavrov dan Rubio kali terakhir bertemu tepat dua bulan lepas, iaitu pada 22 Julai, di luar mesyuarat berkaitan ASEAN di Manila.
Perbincangan itu dijangka menyentuh hubungan kedua-dua negara, serta usaha untuk menamatkan perang di Ukraine, susulan pertemuan Presiden AS, Donald Trump dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy.
Selepas pertemuannya dengan Trump pada Selasa, Zelenskyy berkata, Ukraine bersedia untuk melaksanakan gencatan senjata berkaitan sektor tenaga.
“Kami bersedia untuk gencatan senjata berkaitan sektor tenaga sekiranya pihak Rusia tidak menyerang infrastruktur tenaga kami,” katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU