Skip to main content

Dunia

Presiden Muizzu tegaskan larangan pemegang pasport Israel masuk ke Maldives

Mohamed Muizzu berucap pada satu sesi ketika Sidang Kemuncak Iklim PBB (COP31) di Antalya, Turkiye, 11 Nov 2026. (Foto AP)
Mohamed Muizzu berucap pada satu sesi ketika Sidang Kemuncak Iklim PBB (COP31) di Antalya, Turkiye, 11 Nov 2026. (Foto AP)
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Maldives Mohamed Muizzu menegaskan semula larangan kemasukan pemegang pasport Israel ke negaranya, sambil menyatakan bahawa mereka tidak akan dibenarkan masuk dalam apa jua keadaan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan pejabatnya.

Bercakap pada sidang media di Pejabat Presiden pada Isnin, Muizzu berkata rang undang-undang imigresen yang dicadangkan akan menetapkan larangan kemasukan tanpa syarat bagi pemegang pasport Israel, tanpa mengira sebarang perubahan keadaan.

Beliau menjelaskan bahawa cadangan terdahulu bertujuan melarang kemasukan sehingga Israel menamatkan genosid terhadap rakyat Palestin yang bermula pada Oktober 2023, namun rang undang-undang baharu itu akan menjadikan sekatan berkenaan tanpa syarat.

Advertisement

Muizzu menyifatkan tindakan Israel terhadap rakyat Palestin sebagai genosid dan berkata membenarkan pemegang pasport Israel memasuki Maldives adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Beliau turut mengulangi sokongan negara di Lautan Hindi itu terhadap perjuangan Palestin, sambil berkata kerajaan secara konsisten mempertahankan pendiriannya di platform antarabangsa dan melalui saluran undang-undang.

Advertisement

Presiden itu berkata rang undang-undang imigresen yang dicadangkan telah digubal bagi mencerminkan pendirian kerajaan berhubung isu berkenaan.

Negara kepulauan itu mula melarang pemegang pasport Israel memasuki negara berkenaan pada April 2025, selepas Muizzu meratifikasi pindaan terhadap Akta Imigresen yang diluluskan oleh Parlimen.

Ketika itu, Muizzu berkata keputusan berkenaan mencerminkan solidariti negaranya terhadap rakyat Palestin dan penentangan terhadap kempen ketenteraan Israel di Gaza.

Sekatan asal itu dikaitkan dengan tindakan Israel di Gaza, manakala rang undang-undang baharu yang dicadangkan bertujuan menjadikan larangan berkenaan tanpa syarat, tanpa mengira perkembangan pada masa depan.

Maldives secara konsisten menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya, selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement