SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) memulakan siasatan berhubung dakwaan penjualan daging anjing secara haram yang dipaparkan di sebuah platform media sosial.
Agensi itu memaklumkan bahawa ia tidak meluluskan penjualan daging anjing dan menegaskan semua import makanan mesti mematuhi keperluan SFA, sebagai menjawab pertanyaan media pada Jumaat.
Satu hantaran media sosial yang dikongsi pada Rabu dalam kumpulan Facebook ‘Dogs Singapore’ dipercayai mempromosikan pelbagai hidangan berasaskan daging anjing untuk dijual kepada orang ramai.
Hantaran itu kemudiannya dipadamkan.
SFA berkata produk makanan yang diimport secara haram daripada sumber tidak diketahui boleh menimbulkan risiko keselamatan makanan.
“Daging dan produk daging hanya boleh diimport oleh pengimport berlesen daripada sumber yang diiktiraf SFA.
“Menjual daging dan produk daging yang diimport tanpa lesen atau permit import yang sah merupakan satu kesalahan,” menurut SFA.
Menurut agensi itu, mereka yang didapati bersalah menjual daging dan produk daging yang diimport secara haram boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$50,000 (S$1=RM3.19), atau kedua-duanya sekali.
Pesalah berulang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$100,000, atau kedua-duanya sekali.
“Walaupun SFA melaksanakan dan menguatkuasakan langkah kawal selia, pengimport serta peruncit makanan juga perlu memainkan peranan dengan memastikan produk makanan yang dibawa masuk ke Singapura untuk dijual mematuhi keperluan import SFA dan selamat untuk dimakan,” menurut agensi itu.
-- BERNAMA