DUNIA
Singa lari dari taman haiwan di Antalya, cederakan lelaki, ditembak mati

Singa jantan bernama Zeus itu dilaporkan meloloskan diri dari kandangnya di zoo Land of Lions (Aslan Diyari) di Daerah Manavgat sekitar pukul 3.21 pagi, menurut Pejabat Gabenor Antalya. - Gambar fail
ISTANBUL: Seekor singa yang melarikan diri dari sebuah taman haiwan di Wilayah Antalya, selatan Turkiye pada Ahad mencederakan seorang lelaki sebelum ditembak mati oleh pihak berkuasa, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik pegawai.
Singa jantan bernama Zeus itu dilaporkan meloloskan diri dari kandangnya di zoo Land of Lions (Aslan Diyari) di Daerah Manavgat sekitar pukul 3.21 pagi, menurut Pejabat Gabenor Antalya.
Haiwan itu menyerang seorang pengawal ladang yang sedang bekerja kira-kira satu kilometer dari zoo berkenaan. Mangsa telah dibawa ke hospital dan masih menerima rawatan.
Pasukan keselamatan termasuk unit "gendarmerie" dan polis telah mengepung kawasan sekitar zoo dan mengehadkan akses.Singa itu melarikan diri ke arah kawasan hutan berhampiran, mendorong operasi pencarian besar-besaran oleh kakitangan zoo, Direktorat Taman Negara dan pasukan keselamatan.
"Ekoran bahaya yang ditimbulkan kepada orang ramai dan persekitaran serta kerana ia tidak dapat ditangkap hidup-hidup dengan selamat, singa itu telah dilupuskan," menurut pejabat gabenor.
Direktorat Wilayah Ke-6 Pemuliharaan Alam Semula Jadi dan Taman Negara mengesahkan siasatan telah dilancarkan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab atas kecuaian itu.
Pegawai Daerah Manavgat, Adil Karatas berkata, punca bagaimana singa itu boleh melarikan diri masih belum diketahui.
Pasukan majlis perbandaran telah mengeluarkan bangkai haiwan itu dari kawasan hutan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami