DUNIA
Singapura akan lancar geran bantu perniagaan adaptasi dengan tarif

Geran Penyesuaian Perniagaan Singapura akan dihadkan kepada S$100,000 bagi setiap syarikat, dengan PKS dijangka menerima tahap sokongan lebih tinggi. - Reuters
SINGAPURA: Singapura bakal melancarkan geran baharu menjelang Oktober 2025 untuk membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan persekitaran tarif baharu, menurut pengumuman Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (SERT) pada Khamis.
Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng berkata Geran Penyesuaian Perniagaan akan dihadkan kepada S$100,000 (S$1 = RM3.31) bagi setiap syarikat, dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka menerima tahap sokongan yang lebih tinggi.
"Bagi PKS, kami akan lebih bermurah hati dari segi peruntukan geran itu sendiri kerana mereka sebenarnya menyumbang kira-kira dua pertiga daripada tenaga kerja kami di Singapura dan sebahagian besar daripada mereka adalah warga Singapura," katanya pada sidang media bersama ahli-ahli SERT yang lain.
Skop geran itu akan membolehkan perusahaan yang mengeksport ke dan/atau beroperasi di pasaran luar negara serta terjejas oleh tarif untuk menjalankan perjanjian perdagangan bebas dan nasihat pematuhan perdagangan, nasihat perundangan dan kontrak, serta pengoptimuman rantaian bekalan dan kepelbagaian pasaran.Ia juga akan menyokong perusahaan yang mempunyai operasi pembuatan di luar negara atau dalam negara, yang mungkin menerima bantuan bagi kos penyesuaian semula seperti perbelanjaan logistik dan penyimpanan inventori.
Tan berkata butiran tambahan mengenai geran itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong berkata siri tarif terbaru yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) dijangka meneruskan ketidaktentuan, turun naik dan cabaran bagi ekonomi global.
"Kami berharap rundingan dan perbincangan akan diteruskan, dan AS akan dapat mencapai perjanjian dengan negara-negara ini untuk mengurangkan tarif dan halangan perdagangan," katanya sambil menambah Singapura masih dikenakan tarif asas sebanyak 10 peratus.
Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Industri berkata beliau akan mengadakan lawatan ke AS akhir bulan ini untuk meneruskan perbincangan mengenai potensi konsesi AS terhadap tarif farmaseutikal dan mengadakan perbincangan dengan pentadbiran AS mengenai kerjasama ekonomi yang lebih luas antara kedua-dua negara.
Presiden AS Donald Trump sebelum ini menyatakan hasratnya untuk memperkenalkan tarif ke atas import farmaseutikal.
"Kami belum memulakan perbincangan mengenai semikonduktor. Kami mungkin akan menyentuh mengenai semikonduktor selepas kami menyelesaikan perbincangan farmaseutikal dengan Jabatan Perdagangan," kata Gan.
Sementara itu, beliau berkata ekonomi dijangka kekal kukuh pada separuh pertama tahun ini, memandangkan perniagaan telah bersedia untuk menyesuaikan diri dengan realiti tarif baharu.
"Bagaimanapun, memandangkan jangkaan tarif yang lebih tinggi pada masa hadapan serta usaha di peringkat awal yang semakin berkurangan, kita mungkin akan menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami