SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan negara itu sedang mengalami gelombang baharu COVID-19, dengan peningkatan kes jangkitan pada dua minggu lepas.

Menteri Kesihatannya, Ong Ye Kung berkata kes COVID-19 tersebut di bahagian permulaan gelombang, di mana ia dijangka memuncak dalam dua hingga empat minggu akan datang.

Memetik laporan The Straits Times pada Sabtu, kementerian itu menganggarkan jumlah kes COVID-19 pada 5 hingga 11 Mei meningkat kepada 25,900 kes, berbanding 13,700 kes pada minggu sebelumnya.

Tambah kementerian itu, purata kemasukan harian COVID-19 di hospital meningkat kepada kira-kira 250 daripada 181 minggu sebelumnya.

Sementara, purata harian kes unit rawatan rapi (ICU) kekal rendah iaitu tiga kes, berbanding dua kes pada minggu sebelumnya.

Ye Kung menegaskan, jika jumlah kes COVID-19 meningkat sekali ganda, Singapura akan mempunyai 500 pesakit dalam sistem penjagaan kesihatannya dan ia masih boleh dikendalikan.

Bagaimanapun, katanya jika bilangan kes meningkat dua kali ganda untuk kali kedua,dan ia akan menjadi beban  besar kepada sistem kesihatan hospital.