Ringkasan AI
- Singapura belum memulakan rundingan Perjanjian Tarif Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat, namun terbuka kepada perbincangan untuk kadar tarif lebih rendah.
- Cadangan tarif baharu Amerika Syarikat boleh meningkatkan kadar tarif efektif barangan Singapura daripada 7.8 peratus kepada 10.3 peratus, menjejaskan eksport bernilai S$9.4 bilion.
- Singapura akan terus memperkukuh hubungan dua hala dan berusaha menyelesaikan isu tarif dengan mengutamakan kepentingan negara dalam setiap perbincangan.
SINGAPURA: Singapura belum memulakan rundingan mengenai Perjanjian Tarif Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS), namun kekal terbuka kepada rundingan bagi mendapatkan kadar tarif yang lebih rendah, kata Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong.
Gan yang juga Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri (Perdagangan) berkata Singapura dan AS telah mengadakan libat urus secara berkala sejak beberapa tahun lepas di tengah-tengah siasatan yang sedang dijalankan oleh Washington.
“Dengan siasatan di bawah Seksyen 301 (Akta Perdagangan 1974) sedang dijalankan, kami juga telah mengadakan beberapa sesi libat urus yang membolehkan kami menjelaskan pendirian, berkongsi pandangan dan mengemukakan hujah kami.
“Bagaimanapun, kami belum memulakan rundingan mengenai perjanjian perdagangan,” katanya pada sidang media pada Khamis.
Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) pada Rabu mengeluarkan laporan mengenai hasil siasatan dan cadangan tindakan terhadap 14 ekonomi, termasuk Singapura dan Malaysia, di bawah Seksyen 301 berkaitan lebihan kapasiti dan pengeluaran secara struktural dalam sektor pembuatan tertentu.
Mengulas mengenai cadangan kadar tarif sehingga 20 peratus, Gan menyuarakan rasa terkejut dengan keputusan itu, sambil berkata AS merupakan rakan dagang penting republik berkenaan dan kedua-dua negara telah lama menjalin hubungan dua hala.
Beliau berkata cadangan tarif baharu itu akan meningkatkan kadar tarif efektif ke atas barangan Singapura daripada 7.8 peratus kepada 10.3 peratus, yang boleh menjejaskan eksport Singapura ke AS bernilai kira-kira S$9.4 bilion (S$1=RM3.19).
“Kami telah bekerjasama selama bertahun-tahun dan mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan AS, jadi saya rasa tarif itu mengejutkan kami dan bukan sesuatu yang kami jangkakan daripada rakan dagang utama.
“Kami akan terus memperkukuh hubungan dua hala dan berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan perbezaan berkaitan tarif dan hubungan perdagangan kami serta mendapatkan kadar tarif yang lebih baik untuk pengeksport kami,” katanya.
Mengenai proses rundingan, Gan berkata Singapura sentiasa berpegang pada prinsip dalam libat urus dengan rakan dagangnya dengan mengutamakan kepentingan negara dalam perbincangan, sama ada dengan AS atau mana-mana rakan dagang lain.
Beliau menegaskan bahawa republik itu akan terus menggunakan pendekatan berkenaan dalam perbincangannya dengan AS.
“Kita juga perlu ingat bahawa apa jua perjanjian yang dicapai dengan AS, akan ada unsur tolak ansur, kompromi dan pengorbanan tertentu yang perlu kita terima,” katanya.
-- BERNAMA