Skip to main content

Malaysia

Keselamatan siber perlu beralih daripada reaktif kepada proaktif - Abdul Halim

Abdul Halim (tiga, kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Capture The Flag kepada pasukan Perisai+ dari UIAM pada Majlis Penutupan NEXSEC 2026 di MITEC. - Foto BERNAMA
Abdul Halim (tiga, kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Capture The Flag kepada pasukan Perisai+ dari UIAM pada Majlis Penutupan NEXSEC 2026 di MITEC. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Malaysia digesa beralih kepada pendekatan proaktif berasaskan risikan dan analitik untuk menangani ancaman siber canggih termasuk serangan menggunakan kecerdasan buatan.
  • Kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi dan rakan antarabangsa diperlukan untuk memperkukuh keselamatan siber negara.
  • Kumpulan Perisai+ dari IIUM muncul juara pertandingan Capture The Flag NEXSEC 2026 kategori universiti, membawa pulang wang tunai RM3,000.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada pendekatan lebih proaktif berasaskan risikan, analitik dan keupayaan ramalan bagi mendepani ancaman siber yang semakin canggih, termasuk serangan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata keupayaan mengesan ancaman lebih awal dan bertindak pantas penting bagi memastikan keselamatan infrastruktur kritikal serta sistem digital negara terus terpelihara.

Beliau berkata kemunculan teknologi AI telah mengubah landskap keselamatan siber dengan ketara apabila teknologi itu bukan sahaja boleh digunakan untuk mengesan anomali dan kelemahan sistem, malah dieksploitasi bagi menghasilkan serangan lebih canggih.

Advertisement

“Namun, ia juga boleh dieksploitasi untuk menghasilkan serangan yang lebih canggih, termasuk penipuan berasaskan deepfake (palsu asli) dan serangan automatik,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup NEXSEC 2026 di sini pada Khamis.

Sehubungan dengan itu, beliau menggalakkan agensi kerajaan dan pemain industri meneroka penyelesaian baharu, memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D), memperluas penggunaan teknologi keselamatan serta membangunkan keupayaan tempatan.

Advertisement

Abdul Halim berkata keselamatan siber kini bukan lagi semata-mata isu teknologi atau tanggungjawab teknikal sesebuah organisasi, sebaliknya turut melibatkan keselamatan negara, kedaulatan digital, keyakinan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata ancaman seperti serangan perisian tebusan, pancingan data, pencurian identiti, kebocoran data dan serangan terhadap infrastruktur kritikal memerlukan kerjasama lebih erat antara kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta, penyedia perkhidmatan digital, institusi pengajian tinggi serta rakan antarabangsa.

“Sebaliknya, kerjasama tersebut perlu diterjemahkan kepada tindakan yang konkrit melalui perkongsian risikan ancaman, penyelarasan tindak balas insiden, latihan simulasi, pembangunan standard keselamatan dan mekanisme pemulihan yang berkesan,” katanya.

Pada majlis itu, Abdul Halim turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Capture The Flag (CTF) NEXSEC 2026 kategori universiti yang menyaksikan kumpulan Perisai+ dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) muncul sebagai johan, sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000, plak dan sijil EC-Council.

Naib johan pula dimenangi kumpulan PWNcookies dari Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik (APU) yang menerima hadiah wang tunai RM2,500, plak dan sijil, manakala tempat ketiga disandang kumpulan iphonekupi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan hadiah RM2,000 beserta plak dan sijil.

Sementara itu, wakil kumpulan Perisai+ Mohammad Danish Hakim Mohd Nasir, 22, berkata kejayaan itu merupakan hasil penambahbaikan dan latihan lebih intensif selepas hanya menduduki tempat ketiga pada NEXSEC edisi tahun lepas.

Mohammad Danish Hakim yang bergandingan bersama Muhammad Muhaimin Ridzuan dan Muhammad Afiq Danial Mohd Bacho berkata CTF ialah latihan siber yang menuntut peserta berfikir seperti seorang penceroboh untuk menembusi sistem, sekali gus mengenal pasti kaedah terbaik bagi melindungi sistem tersebut daripada ancaman sebenar. 

“Cabaran utama kali ini ialah larangan penggunaan AI kerana ini untuk mengasah bakat asli setiap pemain, namun pengalaman menyertai pelbagai pertandingan di peringkat universiti serta ASEAN sebelum ini banyak membantu kami sehingga berjaya memenangi tempat pertama hari ini,” katanya kepada media selepas majlis penutupan itu.

Mohammad Danish Hakim turut menyuarakan harapan agar lebih banyak platform seumpama itu dianjurkan pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak muda menyerlahkan bakat mereka, khususnya dalam bidang keselamatan siber.

Sementara itu, bagi pertandingan Pameran Inovasi Teknologi, tempat pertama dimenangi oleh Projek CyberScout AR: Mobile Application for Cybersecurity Awareness dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala, plak dan sijil EC-Council. 

​Tempat kedua pula menjadi milik Projek Pentree: From Attack to Assurance – AI-Powered Autonomous Penetration Testing for Audit-Ready Cybersecurity dari APU yang menerima RM750 dan plak, diikuti Projek Ruang Aman: AI-Powered Online Hate Speech Detection dari Universiti Malaya (UM) di tempat ketiga dengan hadiah RM500 serta plak.

NEXSEC 2026 yang dianjurkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berlangsung semalam dan hari ini dengan menghimpunkan wakil kerajaan, agensi keselamatan, industri, institusi pengajian tinggi serta wakil negara anggota ASEAN bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan siber negara.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement