Skip to main content

Malaysia

Kerjasama penyelidik, industri percepat pembangunan teknologi tempatan

Mohammad Yusof menyampaikan sijil pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia 2026 kepada Profesor Madya Dr Yeoh Fei Yee (dua, kanan) dari Universiti Sains Malaysia pada majlis pengiktirafan berkenaan di Menara MATRADE. - Foto BERNAMA
Mohammad Yusof menyampaikan sijil pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia 2026 kepada Profesor Madya Dr Yeoh Fei Yee (dua, kanan) dari Universiti Sains Malaysia pada majlis pengiktirafan berkenaan di Menara MATRADE. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Kerjasama antara penyelidik, industri dan kerajaan perlu diperkukuh untuk mempercepat pembangunan teknologi tempatan dan memastikan hasil penyelidikan dimanfaatkan.
  • Malaysia menyasarkan perbelanjaan R&D sektor perniagaan meningkat kepada 70 peratus menjelang 2030 berbanding 51 peratus pada 2022.
  • Sembilan penyelidik menerima pengiktirafan TRSM 2026 atas kecemerlangan dan impak penyelidikan, menjadikan jumlah penerima keseluruhan 219 sejak 2012.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerjasama antara penyelidik dan industri perlu diperkukuh bagi mempercepatkan pembangunan teknologi tempatan serta memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan dalam menangani cabaran semasa.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata penglibatan industri tidak seharusnya terhad kepada pembiayaan penyelidikan, sebaliknya perlu melibatkan kerjasama sejak peringkat awal bagi mengenal pasti cabaran sebenar dan membangunkan penyelesaian bersesuaian.

“Kerjasama strategik antara penyelidik, industri dan kerajaan perlu diperkukuh bagi memastikan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berorientasikan keperluan sebenar negara, sekali gus menyokong aspirasi pembangunan teknologi dan produk Made by Malaysia,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2026 anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) di sini pada Khamis.

Mohammad Yusof berkata Malaysia menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menyasarkan perbelanjaan R&D oleh sektor perniagaan (BERD) meningkat kepada 70 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan R&D negara menjelang 2030 berbanding kira-kira 51 peratus pada 2022.

Advertisement

Beliau berkata kejayaan mencapai sasaran itu bukan sahaja bergantung pada peningkatan pelaburan, tetapi turut memerlukan keupayaan menterjemahkan hasil penyelidikan kepada teknologi, harta intelek, produk dan penyelesaian yang memberikan nilai ekonomi serta manfaat kepada rakyat.

Terdahulu, Presiden ASM serta Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen dalam ucapannya berkata sains dan teknologi perlu menjadi pemacu inovasi negara bagi meningkatkan daya saing industri.

Beliau, yang juga ahli akademik, berkata sains dan teknologi turut menjana ekonomi bernilai tinggi serta memastikan manfaat pembangunan dinikmati oleh seluruh rakyat ke arah kemakmuran bersama.

"ASM berusaha mewujudkan ruang kerjasama terbuka antara penyelidik, kerajaan, industri, ahli akademik dan komuniti bagi membangunkan penyelesaian praktikal untuk memenuhi keperluan rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, penerima TRSM 2026 Prof Madya Dr Yeoh Fei Yee dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata penyelidikannya dalam bidang bahan termaju berasaskan nanoporos memberi tumpuan kepada aplikasi bioperubatan dan alam sekitar.

Yeoh berkata kekangan sumber kewangan serta bakat dalam bidang sains dan teknologi, selain jumlah pelajar yang semakin kurang berminat untuk menceburi bidang itu merupakan antara cabaran yang dihadapi ketika ini.

Seorang lagi penerima, Prof Madya Ir Dr Teow Yeit Haan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata penyelidikannya tertumpu kepada teknologi membran untuk rawatan air dan air sisa serta pemulihan sumber, selain inovasi bagi merapatkan jurang kerjasama antara industri dan institusi akademik.

Beliau berkata kerjasama penyelidikan dengan pihak industri termasuk Indah Water Konsortium, Sime Darby dan Infineon Technologies menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan sebenar industri.

Pada majlis itu, sembilan penyelidik menerima pengiktirafan TRSM 2026 atas kecemerlangan serta impak hasil penyelidikan masing-masing, menjadikan jumlah keseluruhan penerima 219 orang sejak inisiatif berkenaan diperkenalkan pada 2012.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement