Skip to main content

Malaysia

Syarikat senaraian awam digesa laksanakan tanda aras gaji wajar RM3,400 - Amir Hamzah

Amir Hamzah berkata pelaksanaan gaji yang adil dan memadai itu akan membolehkan pekerja memenuhi keperluan asas serta taraf kehidupan yang wajar. - Foto fail/BERNAMA
Amir Hamzah berkata pelaksanaan gaji yang adil dan memadai itu akan membolehkan pekerja memenuhi keperluan asas serta taraf kehidupan yang wajar. - Foto fail/BERNAMA

Ringkasan AI

  • Kerajaan menggesa syarikat senaraian awam melaksanakan penanda aras gaji kehidupan wajar RM3,400 bagi memastikan keperluan asas pekerja dipenuhi.
  • Langkah ini dijangka mengukuhkan kestabilan tenaga kerja, mengekalkan pekerja mahir dan meningkatkan produktiviti organisasi.
  • Amalan tadbir urus dan pelaporan korporat berkualiti tinggi penting untuk membina kepercayaan pelabur serta menyokong pertumbuhan ekonomi mampan negara.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa syarikat senaraian awam (PLC) untuk melaksanakan penanda aras gaji kehidupan wajar RM3,400 di peringkat organisasi masing-masing.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelaksanaan gaji yang adil dan memadai itu akan membolehkan pekerja memenuhi keperluan asas serta taraf kehidupan yang wajar.

Langkah itu juga, kata beliau, dapat mendorong dari segi mengukuhkan kestabilan tenaga kerja, mengekalkan pekerja mahir dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti.

Advertisement

“Ini satu dimensi penting dalam amalan perniagaan yang bertanggungjawab, mengiktiraf bahawa usaha pembentukan nilai korporat jangka panjang perlu mengambil kira aspek kebajikan dan jaminan ekonomi tenaga kerja yang menyumbang kepada usaha terbabit.

“Tindakan membayar gaji kehidupan yang wajar turut menjadi bukti jelas kepada pelabur, pihak pengawal selia dan pengguna bahawa teras sosial dalam laporan kemampanan syarikat itu benar-benar disokong oleh kesungguhan yang sebenar,” kata beliau ketika berucap pada majlis makan malam Anugerah Laporan Korporat Tahunan Kebangsaan (NACRA) 2026 di sini, pada Khamis.

Advertisement

Amir Hamzah berkata kerajaan juga kekal komited untuk memperkukuh asas institusi serta dasar bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan dan terangkum.

“Tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan yang baik adalah penting bagi agenda ini, terutamanya ketika Malaysia berganjak kepada aktiviti ekonomi bernilai tinggi serta memperkukuh kedudukan dalam ekonomi global,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan amalan tadbir urus dan pelaporan yang kukuh dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menambah baik disiplin pengurusan, menilai prestasi perniagaan, akses pembiayaan dan melakukan libat urus secara berkesan dengan pelabur serta rakan niaga.

Kemampuan sedemikian, kata Amir Hamzah, semakin penting ketika PKS berusaha mengembangkan operasi masing-masing dan terlibat dalam rantaian nilai domestik serta antarabangsa yang lebih meluas.

Syarikat juga perlu bertindak melabur dalam pembangunan keupayaan tenaga kerja masing-masing, terutama berkaitan bidang analisis data, kemampanan dan pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pembiayaan iklim dan kewangan digital, katanya.

“Aspek kecekapan sedemikian penting bukan hanya untuk memenuhi keperluan pelaporan baharu, tetapi juga bagi memahami risiko perniagaan, menilai keputusan pelaburan serta menyokong strategi jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur NACRA 2026 Ong Chee Wai berkata pelaporan korporat yang berkualiti tinggi adalah penting dalam usaha membina kepercayaan pihak berkepentingan, mengukuhkan keyakinan pelabur serta menyokong pertumbuhan perniagaan mampan syarikat Malaysia.

“Ini juga penting dari segi menyuntik kelebihan daya saing, membantu organisasi menarik pelaburan dan bersaing dengan lebih berkesan dalam ekonomi global yang saling berhubung.

“Menerusi NACRA, kami berhasrat mengiktiraf organisasi yang mempunyai elemen sedemikian selain menggalakkan penambahbaikan berterusan dalam sektor korporat,” katanya.

Ong juga menyifatkan anugerah itu dapat memberi peluang kepada organisasi untuk menilai amalan masing-masing berdasarkan contoh terbaik industri, sekali gus meningkatkan tahap pelaporan korporat di Malaysia.

Bertemakan “Ke Arah Akauntabiliti dan Kecemerlangan,” NACRA 2026 dianjurkan bersama oleh Bursa Malaysia Bhd, Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement