Skip to main content
Advertisement

Dunia

Singapura ikrar perkukuh perpaduan ASEAN, perdalam integrasi serantau

Sumber: REUTERS
Wong menegaskan bahawa Singapura sebagai hab perniagaan dan kewangan utama memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global dengan menghubungkan serta mencipta nilai bagi dunia. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

SINGAPURA: Singapura berikrar akan melakukan segala yang termampu untuk memperkukuh kepusatan dan perpaduan ASEAN, memperdalam integrasi serta menjadikan rantau ini sebagai pasaran tunggal yang lebih berkesan, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.

Berucap pada Rapat Umum Hari Kebangsaan 2026, Wong berkata apabila republik itu menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, Singapura juga akan terus memperkukuh perkongsian dengan pihak di luar rantau ini dalam menghadapi persekitaran global yang mencabar akibat konflik di Asia Barat.

Ini termasuk menghimpunkan pelbagai rakan kerjasama, mencari titik persamaan serta memastikan saluran dialog dan kerjasama antara ASEAN dengan rantau lain terus terbuka.

“Walaupun kita bekerjasama dengan pihak lain, kita tidak boleh menganggap mereka akan datang menyelamatkan kita apabila masalah melanda.

“Pada akhirnya, kita mesti mampu berdiri sendiri dan menjaga diri kita sendiri,” katanya pada Ahad sambil menambah bahawa konflik di Asia Barat boleh meningkat kepada tahap yang jauh lebih serius berbanding keadaan semasa.

Wong menegaskan bahawa Singapura sebagai hab perniagaan dan kewangan utama memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global dengan menghubungkan serta mencipta nilai bagi dunia.

Beliau berkata republik itu akan berusaha menjadikan Singapura lebih relevan dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyatnya dengan menjalinkan hubungan dengan lebih ramai rakan kerjasama.

“Pelabur mempercayai kita. Mereka tahu Singapura ialah sebuah negara yang menegakkan kedaulatan undang-undang, mempunyai institusi yang kukuh serta kontrak dan komitmen sentiasa dihormati.

“Apabila Singapura berjanji, kita menepatinya. Dalam dunia yang semakin sukar untuk mendapatkan kepercayaan, perkara ini kekal sebagai antara kekuatan terbesar kita,” katanya.

Dalam ucapan lebih sejam itu, Wong turut menggariskan lebih banyak sokongan untuk keluarga Singapura, termasuk cuti penjagaan anak dan peningkatan had kelayakan pendapatan bagi rakyat Singapura yang berhasrat membeli flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan rancangan pembangunan infrastruktur utama, termasuk rancangan menggabungkan pulau seperti Semakau, Bukom dan Pulau Sudong bagi memenuhi keperluan industri dan tenaga, serta kajian kebolehlaksanaan pembinaan terowong dasar laut dari tanah besar ke Pulau Tekong.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement