SINGAPURA meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech dan dijangka akan menerima dos vaksin pada hujung tahun ini.

Perdana Menteri  Lee Hsien Loong pada masa sama memaklumkan, beliau bercadang untuk menjadi yang terawal menerima vaksin tersebut.

Negara dengan populasi 5.7 juta penduduk itu dijangka menerima vaksin yang cukup menjelang suku ketiga 2021 dan ia akan diberikan secara percuma kepada warganegara dan penduduk tetap.

Walaupun vaksinasi akan dilakukan secara sukarela, Hsien Loong berkata, beliau dan barisan Kabinetnya akan menjadi antara penerima awal selepas pekerja kesihatan, petugas barisan hadapan, warga emas dan mereka yang berisiko.

 "Saya dan rakan sekerja, termasuk yang lebih tua, akan mendapat vaksin lebih awal. 

"Ini untuk menunjukkan kepada anda, terutama warga emas seperti saya, bahawa kami yakin vaksin itu selamat, ” ujar Hsien Loong.

Singapura juga telah menandatangani perjanjian pembelian lanjutan dan membuat pembayaran awal bagi vaksin yang sedang dibangunkan termasuk dari Moderna dan Sinovac.

Sejak dua bulan kebelakangan ini, Singapura hanya melaporkan sebilangan kecil kes COVID-19.

Secara keseluruhan, Singapura melaporkan 58,000 kes dengan 29 kematian - salah satu daripada kadar kematian terendah di dunia.