SINGAPURA: Singapura dan New Zealand menggesa pembukaan semula Selat Hormuz tanpa syarat, tanpa sekatan dan dengan segera sebagai tindak balas kepada krisis tenaga global yang didorong oleh konflik berterusan di Asia Barat.
Dalam satu kenyataan bersama susulan Mesyuarat Tahunan Pemimpin Singapura-New Zealand yang julung kali diadakan pada Isnin, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon menegaskan bahawa hak laluan transit tanpa sekatan atau tol adalah asas kepada perdagangan antarabangsa.
Advertisement
Kedua-dua pemimpin mengesahkan semula kepentingan menegakkan hak laluan transit di Selat Hormuz, serta semua selat lain yang digunakan untuk pelayaran antarabangsa selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
"Penutupan Selat Hormuz memberi impak yang signifikan kepada rantaian bekalan global, terutamanya bagi produk minyak, gas dan petrokimia serta barangan keperluan dan derivatif hiliran kritikal seperti baja dan plastik untuk pembungkusan.
"Impak ini dirasai dengan hebat di wilayah Indo-Pasifik dan Pasifik," menurut kenyataan bersama itu.
Sementara itu, Singapura dan New Zealand pada Isnin menandatangani Perjanjian Perdagangan Bekalan Penting (AOTES) bagi memudahkan aliran perdagangan dua hala di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan.
Perjanjian itu dimeterai sempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon ke republik berkenaan.
Wong berkata perjanjian itu adalah yang pertama seumpamanya di dunia antara dua negara, yang jelas menunjukkan komitmen mereka untuk memastikan kelangsungan aliran perdagangan barangan keperluan.
"Walaupun dalam keadaan tertekan, rakan kongsi yang dipercayai akan tetap setia antara satu sama lain dan ini bermakna walaupun pada masa krisis atau kekurangan, kita akan memastikan barangan keperluan terus mengalir, makanan, bahan api dan bekalan kritikal yang lain.
"Kita tidak akan menutup pintu antara satu sama lain, sebaliknya, kita akan bekerjasama secara aktif untuk memastikan perdagangan terus bergerak," katanya semasa sidang media bersama selepas menyaksikan majlis menandatangani AOTES.
Menurut Kementerian Luar Singapura, di bawah perjanjian itu, Singapura dan New Zealand komited untuk tidak mengenakan sekatan eksport yang tidak perlu ke atas bekalan penting yang dipersetujui, termasuk makanan, bahan api, penjagaan kesihatan, produk kimia dan pembinaan.
Perjanjian itu juga mewujudkan rangka kerja bagi kedua-dua negara memudahkan pergerakan barangan, berkongsi maklumat dan mengadakan rundingan sebelum atau semasa gangguan rantaian bekalan berlaku.
-- BERNAMA