Skip to main content

Malaysia

Sektor agrikomoditi pada fasa transformasi kritikal - Noraini

KOTA SAMARAHAN, 4 Mei -- Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bersama peserta yang menghadiri program TVET MyKomoditi di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Noraini bersama peserta yang menghadiri program TVET MyKomoditi di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, hari ini. - Gambar Bernama

KUCHING: Sektor agrikomoditi negara kini memasuki fasa transformasi kritikal dengan peralihan ke arah penggunaan teknologi moden, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata sektor itu tidak lagi bergantung pada tenaga kerja, sebaliknya bergerak pantas ke arah aplikasi agroteknologi, automasi dan pendigitalan.

Advertisement

“Pada 2025, sektor ini mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan nilai eksport mencecah RM196.72 bilion, sekali gus membuktikan kepentingannya sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

“Industri komoditi seperti sawit, getah, koko, lada, kenaf dan perkayuan bukan sahaja menjana pendapatan negara, malah menjadi tulang belakang ekonomi yang menyediakan peluang pekerjaan kepada ratusan ribu rakyat Malaysia khususnya di kawasan luar bandar,” katanya dalam ucapan pada Program TVET MyKomoditi di sini hari ini.

Noraini berkata Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini diangkat sebagai laluan perdana, yang menjanjikan jaminan kerjaya stabil, pendapatan kompetitif serta mempunyai prospek masa depan cemerlang. 

“Bagi memperkasakan agenda ini, kementerian melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) telah memeterai sinergi strategik bersama institusi peneraju seperti Sarawak Skills, Sabah Skills and Technology Centre serta Kolej RISDA.

“Ini bagi memastikan pelatih kita bukan sahaja menepati piawaian industri, malah dilengkapi dengan kompetensi praktikal berserta persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi membentuk generasi bersedia menghadapi cabaran operasi sebenar,” katanya.

Pada majlis itu, Noraini turut menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian (MoA) antara IMPAC, institusi TVET dan SD Guthrie, SALCRA Berhad, Genting Plantations dan TH Plantations.

Beliau berkata  menerusi inisiatif itu, seramai 300 orang perantis dari kalangan anak muda tempatan akan diasah bakat mereka dalam bidang pengkhususan teknikal, iaitu sebagai Harvesting Specialist dan Machine Specialist.

-- BERNAMA

Must Watch Video