SINGAPURA: Singapura memperuntukkan secara sementara kapasiti baharu sebanyak 200 megawatt (MW) kepada empat pengendali pusat data, sebagai langkah memperkukuh kedudukan antarabangsa negara itu sebagai hab dipercayai bagi pelaburan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.
Dalam kenyataan bersama, Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) berkata Digital Realty, Equinix, Keppel Data Centres dan ST Telemedia Global Data Centres masing-masing akan diperuntukkan kapasiti pusat data sebanyak 50MW.
Mereka dipilih menerusi pelaksanaan Panggilan Permohonan Pusat Data kedua (DC-CFA2) yang dilancarkan pada 1 Dis 2025, menandakan langkah penting dalam komitmen Singapura untuk bekerjasama dengan sektor pusat data bagi berkembang secara mampan dan menyumbang kepada keutamaan strategik serta ekonomi negara itu.
“Empat pusat data yang mendapat sokongan itu komited untuk melebihi keperluan minimum kemampanan yang ditetapkan bagi DC-CFA2 dan akan membekalkan lebih 50 peratus kapasiti pusat data mereka menggunakan sumber tenaga hijau,” menurut kenyataan itu.
Pusat data berkenaan juga akan mencapai tahap kecekapan tenaga terbaik dalam kelasnya dengan mengguna pakai teknologi canggih seperti penyejukan cecair serta menggunakan 100 peratus peralatan teknologi maklumat (IT) cekap tenaga.
Menurut kenyataan itu, pusat data yang mendapat sokongan di bawah DC-CFA2 akan menempatkan kemudahan mereka di Pulau Jurong.
JTC, sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kemajuan perindustrian Singapura, sedang membangunkan taman pusat data rendah karbon di Pulau Jurong bagi membolehkan sektor pusat data beroperasi secara lebih mampan.
-- BERNAMA