SINGAPURA: Singapura bersedia mempertahankan kedaulatannya ke atas Batu Puteh (Pedra Branca) dan akan menangani tindakan perundangan yang mungkin diambil Malaysia, kata jurucakap Kementerian Luar (MFA) republik itu.

Jurucakap itu berkata demikian dalam satu kenyataan sebagai menjawab pertanyaan media mengenai keputusan Malaysia untuk meneruskan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge).

"Singapura tidak dapat mengulas mengenai hasrat Malaysia untuk meneruskan tindakan perundangan di ICJ memandangkan tiada butiran yang dikongsi," tambah jurucakap itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis (13 Okt) jemaah menteri bersetuju mengenai perkara itu selepas mendengar laporan pembentangan dan cadangan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 7 Okt lepas.

Beliau berkata pasukan khas berkenaan turut mencadangkan supaya kerajaan mengambil tindakan sewajarnya bagi mempertahan kedaulatan negara.

Ismail Sabri dalam satu kenyataan berkata mesyuarat dimaklumkan mengenai terdapat kemungkinan kecuaian dan kekhilafan daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap penghakiman ICJ pada 2008.

-- BERNAMA