SINGAPURA: Singapura menegaskan semula sokongannya kepada Pihak Berkuasa Palestin, termasuk menerusi Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat bernilai S$10 juta (S$1=RM3.16) yang menyediakan latihan, lawatan sambil belajar dan biasiswa kepada rakyat Palestin.
"Singapura secara konsisten menyediakan program pembangunan kapasiti kepada Pihak Berkuasa Palestin bagi membantu persiapan ke arah kenegaraan Palestin," kata Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.
Balakrishnan, yang menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Persidangan mengenai Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) Ke-5 di Manila, Filipina, berkata Singapura turut menganjurkan kursus kepolisan komuniti untuk pegawai Pasukan Polis Awam Palestin dengan kerjasama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).
Di luar mesyuarat CEAPAD itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Sosial Pihak Berkuasa Palestin Dr Samah Hamad. Kedua-dua mereka mengadakan perbincangan yang menyeluruh mengenai situasi politik dan kemanusiaan di Gaza serta prospek keamanan jangka panjang.
-- BERNAMA