DUNIA
Singapura tegaskan sokongan terhadap penyelesaian dua negara di PBB mengenai Palestin

Singapura turut menandatangani dokumen hasil persidangan yang dikenali sebagai New York Declaration on the Peaceful Settlement of the Question of Palestine and the Implementation of the Two-State Solution. - Gambar fail Reuters
SINGAPURA: Singapura sekali lagi menegaskan pendiriannya menyokong penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin, ketika Menteri Negara (Hal Ehwal Luar), Gan Siow Huang mewakili republik itu pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Isnin (22 Sept).
Persidangan Peringkat Tinggi bagi Penyelesaian Aman Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara itu dipengerusikan bersama Perancis dan Arab Saudi.
Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar (MFA) Singapura, persidangan berkenaan menekankan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara “bagi membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat Israel dan Palestin.”
Singapura turut menandatangani dokumen hasil persidangan yang dikenali sebagai New York Declaration on the Peaceful Settlement of the Question of Palestine and the Implementation of the Two-State Solution.“Menyertai persidangan ini mencerminkan pendirian konsisten Singapura bahawa penyelesaian dua negara yang dirundingkan, selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB, adalah satu-satunya jalan ke arah membolehkan rakyat Israel dan Palestin hidup berdampingan dalam keamanan, keselamatan dan maruah,” jelas MFA.
Penegasan ini hadir seiring kenyataan Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan di Parlimen pada Isnin, bahawa Singapura sentiasa menyokong penyelesaian dua negara melalui rundingan.
“Kita akan mengiktiraf negara Palestin apabila ia mempunyai kerajaan berkesan yang menerima hak kewujudan Israel serta menolak keganasan secara mutlak,” kata Dr Balakrishnan dalam kenyataan menterinya.
Beliau turut menegaskan, sokongan Singapura bermaksud republik itu akan menentang sebarang langkah Israel yang cuba menafikan atau melemahkan penyelesaian dua negara.
“Singapura tidak boleh mengiktiraf sebarang tindakan pengilhakan unilateral terhadap wilayah yang diduduki kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa,” tegasnya.
Pada Ahad, Britain, Kanada, Australia dan Portugal mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, satu langkah yang lahir daripada rasa kecewa terhadap perang Israel di Gaza dan bertujuan mengukuhkan momentum penyelesaian dua negara.
Dengan pengiktirafan itu, keempat-empat negara berkenaan kini sebaris dengan lebih 140 negara lain yang menyokong aspirasi Palestin untuk membentuk sebuah negara merdeka daripada wilayah yang diduduki.
Dr Balakrishnan dan Gan Siow Huang kini berada di New York bagi menghadiri Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang bermula Isnin hingga Sabtu ini.
Dr Balakrishnan dijadual menyampaikan kenyataan negara Singapura dalam perbahasan umum UNGA pada Sabtu. - CNA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami