Skip to main content

Dunia

Netanyahu arah tentera Israel lancar serangan hebat terhadap Hezbollah di Lubnan

Tanks and an armoured vehicle drive in Lebanon, as seen from the Israeli side of the Israel-Lebanon border, in northern Israel, April 25, 2026. REUTERS/Florion Goga
Kereta kebal dan sebuah kenderaan berperisai bergerak di Lubnan, dilihat dari bahagian Israel di sempadan Israel–Lubnan, di utara Israel. - Foto REUTERS

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengarahkan tenteranya supaya melancarkan serangan “secara agresif” terhadap sasaran Hezbollah di Lubnan, hanya dua hari selepas gencatan senjata antara kedua-dua pihak dilanjutkan selama tiga minggu.

Arahan itu disusuli dengan serangan baharu Israel ke atas selatan Lubnan, yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang pada Sabtu, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Advertisement

Pertempuran rentas sempadan yang berterusan itu sekali lagi menguji kestabilan perjanjian gencatan senjata, yang setakat ini hanya mengurangkan keganasan dan bukannya menghentikannya sepenuhnya.

Perjanjian gencatan senjata berkenaan dilanjutkan pada Khamis lalu selepas rundingan antara wakil kedua-dua negara di Washington.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan udara Israel ke atas sebuah trak dan motosikal di bandar Yohmor al-Shaqeef di daerah Nabatieh meragut empat nyawa.

Dua lagi terbunuh manakala 17 cedera dalam satu lagi serangan di Safad al-Battikh, di daerah Bint Jbeil.

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) pula mendakwa ia telah “menyingkirkan” tiga anggota Hezbollah yang menaiki sebuah kenderaan sarat dengan senjata, serta seorang lagi yang menunggang motosikal.

IDF turut memaklumkan dua anggota bersenjata Hezbollah terbunuh di kawasan Litani, yang kini menjadi zon penampan dengan kehadiran tentera Israel, dengan alasan mereka mengancam keselamatan anggota IDF.

Kemudian, IDF melaporkan mengesan satu “sasaran udara mencurigakan” berhampiran Malkia, sambil menyifatkan insiden itu sebagai satu lagi pelanggaran gencatan senjata.

Hezbollah, menurut laporan Agence-France-Presse (AFP), menyatakan ia menyasarkan sebuah kenderaan tentera Israel di selatan Lubnan sebagai tindak balas terhadap serangan di Yohmor al-Shaqeef.

Selepas arahan Netanyahu, agensi berita rasmi Lubnan, National News Agency (NNA), melaporkan beberapa serangan berturut-turut Israel di daerah Bint Jbeil, Tyre dan Nabatieh.

Tentera Israel mengesahkan ia menyerang infrastruktur ketenteraan Hezbollah di selatan Lubnan dan menegaskan akan terus bertindak tegas terhadap sebarang ancaman ke atas orang awam Israel serta tenteranya.

Israel dilaporkan masih menguasai sebahagian besar kawasan selatan Lubnan, selain menjalankan kerja perobohan secara besar-besaran di wilayah tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah kumpulan advokasi kebebasan media antarabangsa menyifatkan serangan terhadap wartawan di Lubnan sebagai “tidak boleh diterima”, selepas seorang wartawan terbunuh dalam serangan Israel pada Rabu lalu.

Media Freedom Coalition (MFC), yang dianggotai beberapa negara termasuk United Kingdom, menggesa semua pihak memastikan keselamatan pengamal media.

Seorang wartawan akhbar Lubnan, Amal Khalil, terbunuh manakala jurufoto bebas, Zeinab Faraj, cedera dalam satu serangan udara.

Pegawai Lubnan mendakwa mereka disasarkan ketika berlindung di sebuah rumah selepas serangan awal mengenai kenderaan berhampiran. IDF bagaimanapun menafikan bahawa wartawan menjadi sasaran.
 

Must Watch Video