HORSENS: Keputusan untuk tidak menurunkan pemain perseorangan lelaki utama negara Leong Jun Hao semalam semata-mata bersifat taktikal, walaupun langkah itu hampir menyebabkan Malaysia tewas kepada England di sini, semalam.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara Kenneth Jonassen berkata ideanya adalah untuk melibatkan seramai mungkin pemain pada peringkat awal kejohanan, justeru keputusan menurunkan Justin Hoh sebagai perseorangan pertama merupakan usaha menguji kombinasi berbeza pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Thomas 2026 itu.
Advertisement
“Tiada perkara lain selain kami mahu mengekalkan pilihan…jadi kami merasakan bahawa berpotensi pada peringkat seterusnya kejohanan, semua pemain telah pun diturunkan dan bukan menunggu sehingga perlawanan penting.
“Sudah tentu keputusan itu menunjukkan gambaran sebenar (yang hampir memakan diri). Itu sebahagian daripada proses pembelajaran dan antara perkara yang perlu kami perbaiki untuk perlawanan akan datang,” katanya kepada Bernama.
Malaysia memulakan aksi dengan goyah dalam perlawanan pembukaan di Forum Horsens, apabila Justin memberikan kelebihan awal kepada England selepas tewas 19-21, 19-21 kepada Harry Huang.
Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyamakan kedudukan dengan kemenangan ke atas Oliver Butler-Samuel Jones 21-19, 21-13.
England kembali mendahului apabila pemain ranking ke-153 dunia Cholan Kayan, mengejutkan pemain profesional negara yang berkedudukan ke-51 dunia Aidil Sholeh Ali Sadikin, 21-16, 21-15.
Beregu kedua negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun, memastikan Malaysia terus bersaing dengan kemenangan 21-14, 21-14 ke atas Alex Green-Zach Russ, sekali gus memaksa kemenangan menerusi perlawanan penentuan.
Dengan segala-galanya menjadi taruhan, pemain profesional Lee Zii Jia bangkit pada saat penting untuk memastikan kemenangan pembukaan Malaysia selepas menewaskan Nadeem Dalvi 21-13, 21-11.
Sementara itu, Jonassen tidak menyembunyikan kekecewaannya terhadap persembahan Justin, khususnya kegagalannya mempertahankan kelebihan dalam set kedua ketika pemain itu mendahului 17-12.
“Saya agak terkejut dengan betapa mudahnya kelebihan dalam set kedua itu terlepas. Betapa mudahnya lawannya mengekalkan ketenangan dan Justin terlalu memaksa permainannya,” katanya.
Bagaimanapun, jurulatih dari Denmark berusia 51 tahun itu memberikan pujian tinggi kepada pemain ranking ke-82 dunia Zii Jia, yang menyumbang mata kemenangan dalam perlawanan penentuan.
“Saya fikir dia sangat mantap. Saya rasa dia menggunakan pengalamannya dengan baik. Dia bermain dengan tenang dan penuh kawalan dan itulah yang diperlukan pada peringkat ini.
“Bukan mudah, walaupun anda pilihan utama, untuk berdepan situasi 2-2 yang penuh tekanan, tetapi saya rasa dia mengendalikannya dengan sangat baik,” katanya.
Jonassen turut menambah bahawa kemenangan itu boleh menjadi suntikan keyakinan yang tepat pada masanya buat Zii Jia, untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
Malaysia yang pernah menjuarai Piala Thomas lima kali, akan menentang Finland esok sebelum menutup kempen Kumpulan B menentang juara 2014 Jepun, pada Rabu (29 April).
Pusingan Akhir Piala Thomas 2026, yang bermula Jumaat, akan berlangsung sehingga 3 Mei.
-- BERNAMA