KAHERAH: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, disahkan terlepas baki saingan musim ini selepas mengalami kecederaan hamstring ketika kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, menurut Pengarah Pasukan Kebangsaan Mesir, Ibrahim Hassan.
Pemain sayap berusia 33 tahun itu, yang telah mengumumkan akan meninggalkan Liverpool pada penghujung musim, terpaksa dikeluarkan pada minit ke-60 sambil menerima tepukan penyokong di stadium.
Advertisement
Liverpool setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai tahap kecederaan Salah.
Namun, Hassan menyatakan pemain tersebut telah beraksi buat kali terakhir bersama kelab itu.
“Dia mengalami koyakan hamstring dan memerlukan rawatan selama empat minggu,” kata Hassan kepada Reuters.
Selepas sembilan musim penuh kejayaan bersama Liverpool, perjalanan Salah di Anfield kini berakhir.
Ucapan perpisahannya dijangka disampaikan kepada penyokong selepas perlawanan terakhir musim ini menentang Brentford, bukannya diraikan dengan jaringan gol di atas padang.
Liverpool masih mempunyai beberapa perlawanan penting termasuk dua perlawanan di laman sendiri menentang Chelsea pada 9 Mei dan Brentford pada 24 Mei, selain kunjungan ke Old Trafford untuk bertemu Manchester United pada 3 Mei serta aksi menentang Aston Villa pada 17 Mei.
Salah, penjaring gol ketiga terbanyak sepanjang zaman Liverpool, telah merekodkan 12 gol dan sembilan bantuan jaringan dalam semua pertandingan musim ini.
Hassan turut memaklumkan bahawa Salah dijangka pulih sepenuhnya dan cergas untuk beraksi bersama Mesir pada Piala Dunia 2026.
Mesir diundi dalam Kumpulan G bersama Belgium, New Zealand dan Iran.
Salah bertekad untuk memastikan kecederaan kali ini tidak menjejaskan penyertaannya di kejohanan yang akan bermula di Amerika Utara pada 11 Jun, sekali gus mengelakkan episod pahit seperti Piala Dunia 2018.
Ketika itu beliau mengalami kecederaan bahu dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid, dan Mesir tersingkir di peringkat kumpulan walaupun Salah menjaringkan dua gol.