Skip to main content

Dunia

Skuad Iran diberi sambutan hangat di Mexico menjelang Piala Dunia 2026

Iran national team goalkeeper Alireza Beiranvand gestures to fans as he leaves the team hotel for a training session at Caliente Stadium ahead of the 2026 FIFA World Cup, in Tijuana, Mexico, June 9, 2026. REUTERS/Jorge Duenes
Kehadiran pemain di hotel penginapan selepas sesi latihan disambut sorakan peminat yang setia menunggu untuk mendapatkan tanda tangan dan merakam gambar. -Gambar Reuters

TIJUANA: Skuad bola sepak kebangsaan Iran menerima sambutan hangat daripada penyokong ketika tiba di pusat latihan mereka di Tijuana, Mexico, sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia FIFA 2026 yang bermula hari ini.

Menurut laporan Al Jazeera, kehadiran pemain di hotel penginapan selepas sesi latihan disambut sorakan peminat yang setia menunggu untuk mendapatkan tanda tangan dan merakam gambar.

Bas yang membawa pasukan kendalian Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI) itu turut dikawal ketat oleh anggota Pengawal Kebangsaan Mexico.

Kem latihan yang dipindahkan dari Tucson, Arizona ke Tijuana menjadi perhatian susulan ketegangan geopolitik di antara Iran dan Amerika Syarikat (AS), salah satu negara penganjur kejohanan.

Perkembangan itu turut mencetuskan beberapa isu diplomatik, termasuk kelewatan pengeluaran visa oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS bagi pegawai teknikal pasukan berkenaan.

Bagi mematuhi sekatan pergerakan, skuad Iran dilapor hanya dibenarkan memasuki wilayah AS sehari sebelum perlawanan kumpulan, dan perlu kembali ke Mexico sejurus tamat aksi.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila FFIRI mendakwa peruntukan tiket bagi penyokong Iran untuk baki perlawanan kumpulan telah ditarik balik.

Sebagai simbolik solidariti nasional, pemain Iran dilapor memakai pin emas bernombor “168” ketika tiba di Mexico, sebagai mengenang mangsa tragedi di Minab pada Februari lalu.

Iran yang diundi dalam Kumpulan G dijadual membuka kempen menentang New Zealand di Los Angeles, sebelum berdepan Belgium dan Mesir di venue sekitar Seattle dan Los Angeles.

 

Must Watch Video

Advertisement