BANGKOK: Calon perdana menteri Thailand Pita Limjaroenrat boleh digantung atau hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa kesnya ke Mahkamah Perlembagaan, hanya sehari sebelum Parlimen mengadakan pengundian untuk memilih perdana menteri baharu.

SPR memutuskan untuk merujuk kes pegangan saham Pita ke Mahkamah Perlembagaan selepas jawatankuasa berkaitan membuat kesimpulan bahawa terdapat bukti yang mencukupi bahawa Pita memiliki 42,000 saham dalam Syarikat Awam iTV (iTV) ketika beliau mendaftar untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum 14 Mei lalu.

Di Thailand, individu yang memiliki saham dalam syarikat media dilarang bertanding dalam pilihan raya.

Dalam satu kenyataan, SPR Thailand memaklumkan pihaknya akan merujuk kes Pita kepada Mahkamah Perlembagaan dan mengesyorkan beliau digantung sebagai Ahli Parlimen sementara menunggu keputusan mahkamah.

Tindakan SPR berkemungkinan akan menyemarakkan lagi ketegangan politik di Thailand kerana Parlimen akan mengundi perdana menteri baharu dalam masa kurang daripada 24 jam.

Bagaimanapun, masih belum jelas bila Mahkamah Perlembagaan akan mengadakan perbicaraan kes, jika ia memutuskan untuk menerima kes itu.

Selepas pengumuman SPR, Parti Move Forward (MFP) mendakwa badan itu tergesa-gesa merujuk kes Pita ke Mahkamah Perlembagaan.

"Pita sepatutnya diberi peluang untuk menjawab dakwaan itu," menurut MFP.

Terdahulu, Pita menjelaskan bahawa saham dalam iTV didaftarkan atas namanya kerana mahkamah telah melantiknya sebagai pentadbir mewakili waris lain arwah bapanya yang meninggal dunia pada 2006.

Beliau berkata iTV telah menghentikan operasi pada 2007 dan kemudiannya dinyahsenarai daripada Bursa Saham Thailand pada 2014.

Pada Jun, Pita mengumumkan bahawa beliau telah memindahkan sahamnya dalam iTV kepada waris lain sebagai satu langkah yang dilihat membersihkan sebarang halangan dalam usahanya merebut jawatan perdana menteri.

Sementara itu, pengundian memilih perdana menteri baharu dijangka bermula pada pukul 5 petang (waktu tempatan) Khamis. Senator dan Ahli Parlimen masing-masing akan diberi masa dua jam dan empat jam untuk berbahas sebelum mengundi.

Perdana menteri baharu memerlukan sekurang-kurangnya 376 undi.

MFP, yang memenangi 151 kerusi pada pilihan raya umum 14 Mei dan memperoleh lebih 14.2 juta undi, mengetuai gabungan lapan parti dan gabungan itu memperoleh 312 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, gabungan itu masih memerlukan 64 undi kerana 250 senator yang dilantik oleh junta mungkin membantutkan usaha Pita untuk menjawat jawatan perdana menteri.

Sementara itu, Biro Polis Metropolitan mengumumkan tiada perhimpunan awam dibenarkan dalam lingkungan 50 meter dari bangunan Parlimen di Samsen Road di daerah Dusit mulai hari ini hingga Sabtu.

-- BERNAMA