Sri Mulyani dilantik Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Bill & Melinda Gates

Sri Mulyani akan menyertai enam ahli lembaga lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif yayasan, Mark Suzman dan Bill Gates sendiri. - Foto Instagram/smindrawati
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah di Yayasan Bill & Melinda Gates, organisasi filantropi yang diasaskan oleh tokoh teknologi Bill Gates.
Sri Mulyani akan menyertai enam ahli lembaga lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif yayasan, Mark Suzman dan Bill Gates sendiri.
Suzman memuji pelantikan tersebut, sambil menekankan pengalaman luas Sri Mulyani sebagai kekuatan utama yayasan.
“Sri Mulyani membawa pengalaman luas dalam membentuk hasil ekonomi yang adil, kepakaran yang penting untuk mencapai matlamat jangka panjang yayasan,” kata Suzman dalam kenyataan rasmi.
“Kepimpinannya akan memastikan sumber kami terus digunakan untuk memperluas peluang, mempromosikan pertumbuhan ekonomi inklusif dan meningkatkan kesejahteraan komuniti di seluruh dunia," mengulas lanjut.
Sri Mulyani merupakan wanita pertama dan paling lama berkhidmat sebagai Menteri Kewangan Indonesia.
Beliau juga pernah memegang jawatan Pengarah Urusan Bank Dunia dari 2010 hingga 2016, di mana beliau memainkan peranan penting dalam merangka dasar ekonomi global.
Pelantikan ini berlaku ketika Yayasan Gates sedang melalui transformasi besar, susulan keputusan Bill Gates tahun lalu untuk mengagihkan keseluruhan dana yayasan dalam tempoh dua dekad akan datang.
Fokus utama yayasan termasuk mencegah kematian ibu dan bayi, membasmi penyakit berjangkit, serta mengurangkan kemiskinan global.
Melalui laman rasmi yayasan, Sri Mulyani menyatakan rasa bangga dapat menyumbang pada tempoh kritikal ini.
“Dengan 20 tahun untuk memberi impak maksimum kepada mereka yang paling memerlukan, saya berbesar hati menyertai Lembaga Pengarah Yayasan Gates pada saat penting yang penuh cabaran dan peluang," katanya.
Beliau turut menekankan kerjasama hampir sedekad bersama yayasan, khususnya dalam memanfaatkan teknologi untuk pembangunan inklusif.
Sri Mulyani akan bekerjasama rapat dengan ahli lembaga lain termasuk Ashish Dhawan, Dr. Helene Gayle, Strive Masiyiwa, Thomas J. Tierney, Mark Suzman, dan Bill Gates.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


