INTERNATIONAL
Starmer ucap tahniah kepada Carney, anggap Kanada 'sekutu paling rapat'

Dalam mesej ucapan tahniah Starmer (kiri) kepada Carney (kanan), beliau berkata, UK dan Kanada adalah sekutu, rakan kongsi dan sahabat paling rapat dan beliau turut menyambut baik "kepimpinan Carney dalam isu antarabangsa." (Foto AP)
LONDON: Perdana Menteri Britain Keir Starmer menyatakan hasrat untuk memperkukuh hubungan United Kingdom (UK) dengan Kanada sambil mengucapkan tahniah kepada Mark Carney atas kemenangan beliau dalam pilihan raya negara itu, lapor PA Media/dpa.
Parti Liberal pimpinan Carney, yang juga bekas Gabenor Bank of England, memenangi pilihan raya selepas lonjakan sokongan yang dipacu oleh penentangan terhadap tekanan ekonomi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan ancamannya untuk menggabungkan Kanada sebagai sebahagian daripada AS.
Starmer berkata hubungan peribadi Carney dengan UK akan membantu memperkukuh ikatan antara kedua-dua negara sebagai "sekutu paling rapat."
Carney dijangka tidak memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan majoriti, namun keputusan itu tetap mencerminkan kebangkitan luar biasa nasib Parti Liberal berhaluan tengah kiri itu.Pada awal tahun ini, Parti Konservatif berhaluan kanan tengah mendahului dalam tinjauan pendapat dengan kelebihan lebih 20 mata, namun peletakan jawatan Perdana Menteri dan ketua Parti Liberal, Justin Trudeau, serta hasrat Trump untuk menjadikan Kanada negeri ke-51 AS telah mencetuskan perubahan mendadak dalam landskap politik.
Dalam mesej ucapan tahniah kepada Carney, Starmer berkata: "UK dan Kanada adalah sekutu, rakan kongsi dan sahabat paling rapat. Dengan kepimpinan anda dan hubungan peribadi anda dengan UK, saya yakin hubungan antara kedua-dua negara akan terus berkembang."
Kanada akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin G7- yang turut dihadiri Trump - pada bulan Jun ini.
Starmer turut menyambut baik "kepimpinan Carney dalam isu antarabangsa" dan berkata, "Saya yakin kita akan terus bekerjasama rapat dalam bidang pertahanan, keselamatan, perdagangan dan pelaburan menjelang sidang kemuncak pemimpin G7 di Kananaskis pada Jun nanti."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami