JENAZAH Mariam Moustafa, pelajar Mesir yang mati selepas dipukul sekumpulan perempuan bulan lalu masih belum dikebumikan.

Mariam, 18 tahun, diserang kumpulan terbabit sekitar jam 8 malam di Victoria Centre, 20 Feb lalu.

Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Nottingham City pada 14 Mac.

BACA: Mariam mangsa kebencian agama? Maut dibelasah 10 perempuan di Nottingham

Selepas lebih dua minggu pemergiannya, jenazah Mariam masih disimpan di bilik mayat hospital.

Ini menimbulkan kemarahan ayahnya Mohammed Moustafa, 50, yang menganggap dirinya seperti terpenjara di rumah sendiri.

“Bagaimana saya nak lelapkan mata selepas apa yang berlaku?

“Anak saya di bilik dingin beku sedangkan mereka yang membunuhnya bebas di luar,” luah Moustafa dalam nada kecewa.

Mohammed Moustafa  mempersoal tindakan pihak berkuasa yang lambat selesaikan kes kematian Mariam - Foto metro.co.uk
Bagaimanapun, menurut polis Nottinghamshire, beberapa proses bedah siasat masih perlu dilakukan bagi membuktikan dakwaan kematian Mariam berpunca serangan itu.

Mohammed diberitahu, proses berkenaan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 minggu lagi.

Namun baginya bukti sudah cukup untuk keputusan dibuat, persoalannya mengapa sehingga kini tiada sebarang pendakwaan dibuat.

“Saya faham apa yang telah berlaku. Jika masih ada keraguan saya faham, tapi sekarang semuanya jelas.

“Kenapa perlu lapan hingga 12 minggu lagi, beri saya satu sebab mengapa? Ada sesuatu yang tidak kena,” cabar Mohammed.

Mohammed berhasrat membawa pulang jenazah Mariam ke Mesir untuk dikebumikan, namun niatnya itu sehingga kini masih tertangguh berikutan prosedur berkenaan.

Setakat ini hanya seorang gadis berusia 17 tahun ditahan kerana disyaki terlibat membelasah Mariam. Dia bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan.

Bagi polis, keputusan sama ada insiden berkenan akan disiasat sebagai jenayah lebih berat berbanding serangan akan dibuat berdasarkan hasil bedah siasat 16 Mac lalu.

Namun hasil bedah siasat itu gagal membawa sebarang keputusan dan beberapa siri ujian lagi perlu dijalankan bagi mengesahkan punca kematian Mariam.

Menurut Mohammed lagi, Mariam dilahirkan dengan separuh daripada jantungnya tidak berfungsi dan dia pernah menjalani empat atau lima pembedahan di Itali sebelum ini.