Skip to main content

Dunia

"Sudah tiba masanya ajar Kanada" - Trump perhebat perang tarif

U.S. President Donald Trump speaks to reporters about the helipad being constructed on the South Lawn, at the White House in Washington, D.C., U.S., August 19, 2026. REUTERS/Kylie Cooper
Presiden AS pertahan tindakan mengenakan tarif baharu ke atas import Kanada selepas rundingan perdagangan gagal. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata sudah tiba masanya untuk “mengajar Kanada bahawa mereka tidak boleh terus melakukan perkara ini”, hanya beberapa hari selepas rundingan perdagangan antara kedua-dua negara jiran itu gagal mencapai kata sepakat.

Menurut Trump, beliau sebelum ini telah menawarkan satu perjanjian yang dianggapnya baik kepada Kanada, namun, ia tidak diterima oleh negara berkenaan.

“Saya sudah ada satu perjanjian yang agak baik, malah sangat baik. Mereka tidak mempunyai apa-apa yang benar-benar kami perlukan. Kami boleh meneruskannya tanpa mereka.

“Memang ada beberapa perkara yang mungkin menyebabkan sedikit kesulitan, tetapi kami boleh mendapatkannya dari tempat lain. Dan sudah tiba masanya untuk mengajar Kanada bahawa mereka tidak boleh terus melakukan perkara ini,” katanya dalam wawancara bersama Glenn Beck pada Rabu.

Pada Sabtu lalu, Trump mengumumkan tarif baharu sebanyak 50 peratus terhadap import Kanada bernilai AS$20 bilion selepas rundingan perdagangan antara kedua-dua negara menemui jalan buntu.

Sebagai tindak balas, Kanada pada Selasa mengumumkan tarif balas terhadap import tahunan AS bernilai kira-kira AS$20 bilion, selain memperkenalkan bantuan kepada syarikat dan pekerja yang terkesan. 

Langkah itu menyamai kadar tarif yang dikenakan Washington dan dijadual berkuat kuasa pada 8 September.

Trump turut mengumumkan tarif 50 peratus ke atas kenderaan dan alat ganti automotif dari Kanada yang akan mula dilaksanakan pada 1 Januari depan.

Kanada sebelum ini memaklumkan, antara punca kegagalan mencapai persetujuan ialah keengganan AS melanjutkan pengecualian tarif kepada kenderaan komersial sederhana dan berat.

Kedutaan Kanada di Washington setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkembangan terbaharu itu.

Sementara itu, dalam wawancara bersama Canadian Broadcasting Corporation (CBC), Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, pada masa ini tiada saluran rundingan yang sedang berjalan dengan pihak Kanada.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masih mempunyai hubungan kerja yang baik dengan Menteri Dominic LeBlanc, yang mengetuai isu perdagangan AS bagi pihak Kanada.

“Jika terdapat tindakan balas tambahan daripada Kanada, sudah tentu kami tidak akan hanya berdiam diri dan menerimanya,” kata Greer.

Beliau menambah, AS akan terus melaksanakan dasar perdagangannya berdasarkan kepentingan negara itu.

“Saya faham bagaimana perasaan rakyat Kanada dan apa yang mereka fikirkan. Namun, kami mempunyai dasar perdagangan kami sendiri dan akan meneruskannya mengikut apa yang terbaik untuk Amerika Syarikat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, penasihat White House, Peter Navarro meramalkan sebarang perjanjian perdagangan yang bakal dicapai Kanada dengan AS selepas ini akan menjadi kurang menguntungkan berbanding tawaran yang dikemukakan minggu lalu.

“Ia tidak akan berakhir dengan baik untuk Kanada. Saya menjangkakan perjanjian yang anda tolak itu tidak akan ditawarkan semula.

“Apa sahaja yang anda peroleh selepas ini akan lebih rendah daripada tawaran tersebut,” katanya dalam wawancara bersama C-SPAN.

Navarro turut mengakui, tawaran yang pernah dikemukakan kepada Kanada sebelum ini membuatkan beliau “kurang selesa” kerana menganggapnya terlalu menguntungkan negara jiran utara AS itu.

“Dari sudut ekonomi, mereka sepatutnya tidak menolaknya,” kata beliau.

 

 

Must Watch Video

Advertisement