ISLAMABAD: Pakistan kini mengalami gelombang haba dengan suhu dijangka meningkat setinggi 50 darjah Celsius di wilayah paling ramai penduduk di negara itu, lapor Agensi Berita (dpa) Jerman.

"Suhu dijangka meningkat setinggi 50 darjah di selatan Punjab dan beberapa kawasan Sindh," kata ketua pakar metro Sardar Sarfraz pada Selasa.

Jabatan Metrologi Pakistan mengeluarkan nasihat bahawa suhu harian berkemungkinan kekal empat hingga enam darjah lebih tinggi daripada kebiasaan di Punjab dan beberapa bahagian di Sindh.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada terdedah kepada cahaya matahari langsung," kata jabatan itu.

Suhu di kawasan utara yang mempunyai lebih 7,000 glasier, dijangkakan dua hingga empat darjah lebih tinggi daripada biasa.

Keadaan panas terik akan berterusan dari Selasa hingga Sabtu.

Hujan sebelum monsun dijangkakan akhir minggu ini, kata Sarfraz, namun Pakisan menjangkakan hujan monsun tahun ini tidak seperti tahun lepas.

Tahun lepas, lebih 1,700 orang terbunuh dan lebih 33 juta lagi terjejas susulan banjir besar akibat hujan monsun yang tidak menentu.

Minggu lepas, berpuluh-puluh ribu orang di Pakistan dan India dipindahkan akibat siklon Biparjoy.

Negara jiran, India, juga dicengkam gelombang haba yang terik menyebabkan ramai meninggal dunia dalam tempoh beberapa hari lepas.

Pakistan hanya melepaskan kurang daripada satu peratus karbon global, namun menjadi antara 10 negara utama terdedah kepada perubahan iklim.

Banjir kilat, hakisan tanah, hujan lebat, kemarau dan asbut yang menyumbang kepada kualiti udara rendah, semakin meningkat di Pakistan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

-- BERNAMA