STOCKHOLM: Penyiasat Sweden menahan kapten sebuah kapal yang dipercayai milik armada bayangan Rusia atas tuduhan memalsukan dokumen, menurut pengawal pantai, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pengawal pantai menahan kapal tangki itu pada Ahad berhampiran Trelleborg di selatan Sweden. Kapal bernama “Jin Hui” itu berada dalam senarai sekatan Kesatuan Eropah (EU), Ukraine dan Britain serta disyaki berlayar menggunakan bendera palsu, kata Menteri Pertahanan Awam Sweden, Carl-Oskar Bohlin di platform X.
Advertisement
Kapal tangki sepanjang 182 meter itu datang dari Turkiye dan belayar di bawah bendera Syria, menurut pengawal pantai. Destinasinya tidak jelas.
Penyiasat turut menyiasat kapten warga China atas syak bahawa kapal itu tidak selamat untuk belayar, dan beliau akan disoal siasat.
Kapal itu kekal berlabuh di luar Trelleborg.
Sweden baru-baru ini meningkatkan tindakan terhadap kapal yang disyaki tergolong dalam armada bayangan Rusia. Pengawal pantai berkata kes itu merupakan kali kelima pihaknya menaiki dan memeriksa kapal mencurigakan.
Rusia menggunakan kapal dalam apa yang dikenali sebagai armada bayangan untuk cuba mengelak sekatan yang dikenakan oleh sekutu Barat susulan perang di Ukraine.
-- BERNAMA-dpa