ZURICH: Kerajaan Switzerland pada Rabu melancarkan proses konsultasi awam berhubung peraturan perbankan baharu yang berpotensi mengehadkan pemberian bonus kepada pengurusan tertinggi perbankan, susulan kejatuhan Credit Suisse yang menggugat keyakinan terhadap sektor kewangan negara itu pada 2023.
Majlis Persekutuan Switzerland memaklumkan, langkah itu merangkumi usaha memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan kesiapsiagaan institusi kewangan menghadapi krisis serta memperluas kuasa pengawasan pihak berkuasa pasaran kewangan negara, FINMA.
Menteri Kewangan Switzerland, Karin Keller-Sutter berkata, cadangan berkenaan bertujuan meningkatkan daya tahan sistem kewangan negara sambil melindungi ekonomi, pembayar cukai dan kepentingan negara daripada risiko yang berpunca daripada kegagalan institusi kewangan berskala besar.
“Matlamat kami adalah untuk mengukuhkan daya tahan dan keyakinan terhadap sistem kewangan Switzerland, selain melindungi ekonomi, pembayar cukai dan negara,” katanya dalam sidang media di Bern.
Antara fokus utama cadangan itu ialah struktur ganjaran pengurusan tertinggi bank.
Di bawah peraturan baharu yang dicadangkan, bonus boleh ditahan atau dituntut semula daripada pengurus kanan dan pegawai dengan pendapatan tertinggi di bank-bank yang mempunyai kepentingan sistemik sekiranya berlaku salah urus atau pelanggaran peraturan.
Langkah itu bertujuan memastikan pakej ganjaran tidak mendorong ahli perbankan mengambil risiko berlebihan demi keuntungan jangka pendek yang akhirnya boleh menjejaskan kestabilan sistem kewangan.
Menurut Keller-Sutter, kerajaan mahu memastikan ganjaran pengurusan lebih tertumpu kepada prestasi dan keuntungan jangka panjang, selaras dengan matlamat mewujudkan sektor perbankan yang lebih mampan dan bertanggungjawab.
Proses konsultasi berhubung cadangan tersebut dijadual bermula pada penghujung Ogos dan berterusan sehingga November.
Pada Mac 2023, pihak berkuasa Switzerland terpaksa campur tangan bagi mengelakkan kejatuhan Credit Suisse daripada mencetuskan krisis kewangan yang lebih besar.
Dalam tindakan kecemasan itu, Credit Suisse akhirnya diambil alih oleh pesaing domestiknya, UBS.
Susulan penggabungan berkenaan, UBS kini menjadi institusi kewangan yang lebih besar dan mempunyai kepentingan yang semakin kritikal kepada sistem kewangan Switzerland.
Sehubungan itu, kerajaan turut mahu bank berkenaan memperkukuh kedudukan modalnya bagi memastikan ia mampu menghadapi sebarang krisis atau kejutan pasaran pada masa hadapan.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah memperketat keperluan modal bagi anak syarikat UBS di luar negara.
Namun, langkah tersebut mendapat tentangan daripada pengurusan bank itu yang berpendapat syarat tambahan berkenaan boleh menjejaskan daya saing UBS di peringkat global. - Agensi