“Ada sajadah panjang terbentang,
Hamba tunduk dan rukuk,
Hamba sujud tak lepas kening hamba,
Mengingat Dikau sepenuhnya"


Bait-bait lagu indah ini amat menginsafkan, betapa kecilnya kita di sisi ALLAH SWT.

Di bumi Lombok ini, manusia diuji. Mereka hanya reda. Gempa yang berlaku pada 29 Julai hingga ke saat ini tidak pernah dirungut.

Lombok yang terkenal dengan gelaran Negeri Seribu Masjid punah seperti punahnya masjid-masjid di sana.

Sepanjang berada di sana, hampir 80 peratus rumah dan kedai musnah. Jumlah kematian dicatatkan lebih 400 orang, ribuan yang lain mengalami cedera parah akibat korban runtuhan.

Di Kacamatan Tanjung, Kabupaten Lombok Utara ini merupakan kawasan paling teruk terjejas. Runtuhan rumah dan jalan kelihatan di sepanjang jalan, masjid yang berselang 400 meter setiap satu tersungkur dan retak. Kubahnya tersembam ke tanah.

Kacamatan Tanjung terletak 40 kilometer kira-kira sejam perjalanan dari ibu kota Mataram. Namun disebabkan gempa bumi, perjalanan mengambil masa hampir 2 jam. Kawasan sekelilingnya hanyalah hutan dan kepulauan kecil yang indah.

Masyarakatnya kini belajar untuk bangkit dari kemusnahan gempa bumi yang ganas. Sumber pendapatan mereka hilang.

Mereka kini menginap di khemah yang didirikan oleh pihak berkuasa tempatan. Berkongsi puluhan keluarga dalam satu khemah.

Kemusnahan akibat gempa di Lombok.
Di Dusun Sigar Penjalin, satu kawasan pedalaman berhampiran kaki bukit, lokasi di mana kerja-kerja sukarelawan dilakukan, kelihatan amat menyedihkan.

Bantuan sukar disalurkan kerana lokasinya berada nun jauh di pedalaman. Mereka hanya mengharapkan kedatangan sukarelawan untuk membawa bantuan seperti makanan, khemah dan selimut.

Jumlah penduduk sekitar kawasan itu kira-kira 1,000 orang termasuk kanak-kanak di Pondok Persantren Assai’diyah.

Mereka solat berjemaah hanya beratapkan awan dan berlantaikan tanah dengan sejadah usang.

Kehadiran Aidiladha ini bagaikan sepi dan hanya kedengaran gema takbir raya yang menyedihkan.

Mana tidaknya, sekeliling mereka hanya rumah-rumah yang telah roboh. Rumah yang dibina lebih 30 tahun, roboh dalam sekelip mata.

Namun, sambutan Aidiladha tetap diraikan dengan penuh sederhana agar mereka tidak terus bersedih. Mereka kini mengalami pasca trauma yang dahsyat.

Hasil kutipan daripada warga Malaysia dan Singapura, bantuan makanan dan keperluan asas dapat disalurkan ke dapur umum Posko Pusat Pengungsi Desa Penjalin.

Apa yang penting kini kanak-kanak yatim dan asnaf di Pondok Persantren Assai’diyah dapat tersenyum kembali.

Biarkan mereka bermain. Biarkan mereka ketawa agar mengubat trauma yang dideritai.

Ikuti sambungan detik luka selepas mereka cuba bangkit dari tragedi ngeri ini dalam keluaran akan datang.

“Mencari rezeki mencari ilmu
Mengukur jalanan seharian
Begitu terdengar suara adzan
Kembali tersungkur hamba”