ISTANBUL: Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi (ADNOC) mengesahkan pada Sabtu bahawa sebuah kapalnya menjadi sasaran serangan peluru berpandu ketika melalui Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media kerajaan.
Menurut agensi berita rasmi Emiriah Arab Bersatu (UAE), WAM, insiden itu berlaku pada awal pagi Sabtu.
ADNOC memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan dan keadaan berjaya dikawal.
Terdahulu, agensi berita separa rasmi Iran, Fars, melaporkan sebuah kapal yang dipercayai kapal tangki minyak terbakar di laluan selatan selat berkenaan.
Memetik pemantauan satelit, Fars berkata sebuah kapal pemadam kebakaran dan tindak balas tumpahan minyak, ADNOC AR01, telah tiba di lokasi kejadian.
-- BERNAMA-ANADOLU