Skip to main content

Dunia

Syrian Airlines sambung semula penerbangan Damsyik-Moscow selepas 18 bulan

[TB]_Syrian Airlines_ADOBE STOCK
Kuasa Usaha Kedutaan Rusia di Damsyik Zaur Guseinov berkata penyambungan semula penerbangan terus itu merupakan perkembangan penting yang boleh membantu memperkukuh kerjasama dua hala. - Gambar fail
Advertisement

DAMSYIK: Syrian Airlines menyambung semula penerbangan terus antara Damsyik dan Moscow pada Ahad selepas digantung lebih 18 bulan, lapor Xinhua.

Sebuah pesawat Syrian Airlines dari Moscow mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik pada sebelah petang, menandakan penerbangan pergi balik pertama antara kedua-dua ibu negara itu sejak perkhidmatan berjadual digantung pada Disember 2024.

Penolong Ketua Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Syria Sameh Orabi berkata perkhidmatan yang dipulihkan itu akan memberi manfaat khususnya kepada komuniti Syria di Rusia, sambil menambah laluan Moscow merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas Syrian Airlines untuk memperluas rangkaian penerbangannya.

Kuasa Usaha Kedutaan Rusia di Damsyik Zaur Guseinov berkata penyambungan semula penerbangan terus itu merupakan perkembangan penting yang boleh membantu memperkukuh kerjasama dua hala.

Guseinov berkata penerbangan berjadual akan membuka peluang baharu bagi pertukaran delegasi serta hubungan lebih erat antara wakil sektor perniagaan, saintifik dan kebudayaan.

Seorang penumpang, Mahmoud Mustafa Niq yang tiba menerusi penerbangan dari Moscow pada Ahad berkata beliau menempah tiket sebaik mengetahui Syrian Airlines akan menyambung semula perkhidmatan itu.

“Saya tidak lagi perlu bersusah payah berpindah dari satu tempat ke tempat lain, dari satu lapangan terbang ke lapangan terbang lain dan menunggu di sana,” katanya sambil berharap Syrian Airlines akan memulihkan penerbangan dengan lebih banyak destinasi di seluruh dunia.

Pemulihan laluan Moscow itu berlaku ketika Damsyik dan Moscow menyusun semula hubungan dua hala susulan perubahan politik di Syria pada 2024, dengan kedua-dua pihak berusaha mengekalkan kerjasama dalam pelbagai bidang.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement