MIRI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin merekodkan jumlah pengundi berdaftar berusia 18 hingga 20 tahun tertinggi di Sarawak, dengan 6,119 orang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Statistik Daftar Pemilih terkini yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), setakat 25 Oktober 2026, menunjukkan DUN Tupong mencatatkan jumlah kedua tertinggi dengan 3,933 pengundi dalam lingkungan usia sama.
Angka itu bukan sekadar menggambarkan jumlah pengundi muda, malah mencerminkan kehadiran generasi baharu yang bakal memainkan peranan dalam menentukan kepimpinan serta hala tuju pembangunan negeri.
Di Senadin, peningkatan populasi golongan muda turut dipengaruhi perkembangan kawasan itu sebagai tumpuan penempatan dan pendidikan.
Pengerusi Persatuan Belia Miri, Mohammad Aniq Ashwin Abuzar, 25, berkata antara faktor yang menyumbang kepada jumlah pengundi muda yang tinggi termasuk pembangunan perumahan, penempatan semula penduduk dari Kampung Api-Api dan Kampung Wireless, selain kewujudan institusi pendidikan.
“Antara faktor utama ialah skim penempatan semula penduduk, perumahan kos rendah serta pembangunan perumahan yang semakin pesat di Senadin.
“Selain itu, pembangunan pendidikan di kawasan ini, termasuk Universiti Curtin Malaysia, ILP dan IKBN serta beberapa sekolah turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada jumlah pengundi muda yang tinggi,” katanya.
Seiring pertambahan pengundi muda, pendedahan terhadap proses demokrasi dan peluang untuk menyuarakan pandangan kepada pemimpin juga penting bagi memastikan generasi baharu memahami peranan mereka sebagai pengundi.
Ahli Persatuan Belia Miri, Damia Mirza Supian, 22, berharap lebih banyak program pendidikan pilihan raya, termasuk simulasi proses pengundian serta sesi dialog antara pemimpin dan golongan belia, dapat dianjurkan bagi menggalakkan komunikasi dua hala.
“Saya berharap lebih banyak program atau simulasi diadakan untuk mendedahkan golongan belia kepada proses pilihan raya.
“Selain itu, saya juga berharap lebih banyak sesi dialog diadakan antara pemimpin dan golongan belia supaya komunikasi dua hala dapat diwujudkan dan golongan muda merasakan suara mereka turut penting,” katanya.
Selain isu kepimpinan dan penyertaan dalam proses demokrasi, peluang ekonomi serta sokongan terhadap pembangunan kerjaya turut menjadi antara perkara yang dekat dengan aspirasi golongan muda.
Bagi usahawan, Ahmad Al-Fakhrurradzie Ahmad Zaidi, 25, yang telah lima tahun mengusahakan perniagaan cenderamata sebelum mengembangkan penglibatannya ke bidang makanan dan minuman, sokongan dasar serta inisiatif kerajaan merupakan antara faktor penting dalam membuka peluang kepada golongan muda untuk menceburi bidang keusahawanan.
Menurutnya, bantuan merangkumi peruntukan pembiayaan, penyediaan mesin dan sokongan tenaga kerja telah membantu memenuhi keperluan asas untuk memulakan serta mengembangkan perniagaannya.
“Saya baru sahaja menceburi bidang makanan dan minuman, tetapi sudah lima tahun menjalankan perniagaan cenderamata.
“Pelbagai bantuan telah disediakan, termasuk peruntukan untuk pembelian mesin, pekerja dan tenaga kerja. Malah, segala keperluan asas untuk memulakan perniagaan turut diberikan,” katanya.
Secara keseluruhan, Sarawak mempunyai 126,712 pengundi berdaftar berusia 18 hingga 20 tahun, bersamaan kira-kira 6.15 peratus daripada lebih dua juta pengundi berdaftar di negeri ini. – TVS