KEPIMPINAN Taliban menyatakan komitmen mereka kepada Perjanjian Doha bagi menghalang bumi Afghanistan daripada menjadi tempat perlindungan organisasi pengganas.

Menurut Timbalan Menteri Taliban Abdul Salam Hanafi, tiada mana-mana pihak pun akan dibenarkan untuk bergerak aktif di negara Asia Selatan itu, yang boleh membahayakan keselamatan rantau dan seluruh dunia.

Jelasnya, Taliban kini berminat untuk mempunyai hubungan yang baik dan positif dengan seluruh dunia.

"Kami tidak akan membenarkan mana-mana individu atau organisasi mempunyai pangkalan tentera di sini, di Afghanistan, dan membahayakan keselamatan rantau ini, negara-negara di rantau ini, di seluruh dunia.

"Ini adalah dasar Emiriah Islam Afghanistan, dan ia juga merupakan salah satu daripada artikel Perjanjian Doha, yang kami komited untuk mematuhinya.

"Kami mahu mempunyai hubungan yang positif dan baik dengan semua jiran kami, negara lain di rantau ini dan seluruh dunia," katanya ketika menghadiri satu majlis di Kabul pada Sabtu.

Kerajaan Taliban ketika ini sedang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dan bagi mencapai hasrat ini, beberapa tuntutan perlu dipenuhi.

Masyarakat antarabangsa menuntut Taliban menegakkan hak-hak wanita, membenarkan kanak-kanak perempuan hadir ke sekolah dan memberikan hak kepada wanita untuk bekerja dalam semua bidang.

Terdapat juga beberapa tuntutan lain seperti hak-hak etnik minoriti dan penubuhan kerajaan yang inklusif. 

Konflik Afghanistan | Taliban komited bendung pengganas