WASHINGTON: Dianggarkan 100 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) terjejas akibat kesan cuaca buruk pada musim panas ini.

Setiausaha Akhbar White House, Jen Psaki berkata tiada siapa yang kebal daripada kesan yang dipercayai akibat perubahan iklim ini.

Jelas Psaki, agensi persekutuan sudah menggiatkan usaha menghulurkan bantuan kepada mangsa Taufan Ida.

"FEMA sudah mengagihkan sekitar AS$170 juta kepada lebih 159,000 yang terkesan akibat Taufan Ida.

"Persatuan Perniagaan Kecil (SBA) juga telah mengagihkan AS$4.7 juta bantuan pinjaman di Louisiana.

"Pendaftaran bantuan individu dibuka semalam, di New York dan New Jersey sahaja, 3,000 isi rumah sudah mendaftar," kata Psaki.

Terdahulu, Presiden Joe Biden telah mengadakan lawatan ke New Jersey dan New York bagi meninjau kemusnahan susulan Taufan Ida.

Biden sebelum ini merancang memperuntukkan bantuan berjumlah AS$1 trilion untuk membangunkan semula infrastruktur seluruh negara.

Lebih 40 orang maut akibat hujan lebat, banjir dan puting beliung yang melanda timur laut AS sejak seminggu lalu, kesan daripada taufan tersebut.

Malah, darurat turut diisytiharkan di New York berikutan hujan lebat dan ribut taufan.