ANTANANARIVO: Sekurang-kurangnya sembilan orang maut selepas taufan tropika Gezani melanda pesisir timur Madagascar, menyebabkan kemusnahan besar terutama di sekitar bandar pelabuhan Toamasina, menurut pihak berkuasa bencana negara itu.
Selain korban, 19 orang cedera dan hampir 1,500 penduduk dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Advertisement
Pegawai meteorologi Madagascar berkata Gezani mencatat kelajuan angin berterusan sekitar 185 kilometer sejam, dengan hentaman mencecah hampir 270 kilometer sejam ketika berada pada tahap paling kuat.
Angin kencang itu mengakibatkan bumbung rumah tercabut, dinding bangunan runtuh dan tiang elektrik tumbang, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.
Gezani merupakan taufan kedua melanda Madagascar dalam tempoh kurang dua minggu, selepas Fytia yang mengorbankan 14 orang dan memindahkan lebih 31,000 penduduk sebelum ini.
Pihak berkuasa telah menutup sekolah dan membuka pusat perlindungan kecemasan sebelum ketibaan taufan tersebut.
Menjelang Rabu pagi, Gezani dilaporkan melemah kepada ribut tropika dan bergerak ke arah dataran tinggi tengah sebelum dijangka keluar ke Selat Mozambique.