Skip to main content

Malaysia

29 sekolah di Pulau Pinang dinaik taraf, terima kemudahan baharu

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berucap pada majlis pecah tanah bangunan baharu SJKC Heng Ee di Bayan Lepas, pada Sabtu. - Foto Facebook Wong Kah Woh
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berucap pada majlis pecah tanah bangunan baharu SJKC Heng Ee di Bayan Lepas, pada Sabtu. - Foto Facebook Wong Kah Woh
Advertisement

GEORGE TOWN: Sebanyak 29 sekolah di Pulau Pinang menerima manfaat daripada pelaksanaan inisiatif penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai persediaan menghadapi kemasukan murid tahun satu bagi sesi persekolahan 2027.

Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dalam kenyataan memaklumkan inisiatif yang dilaksanakan di lima daerah itu melibatkan pembinaan bangunan tambahan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS), selain penyelenggaraan, pengubahsuaian dan naik taraf bilik darjah.

"Usaha itu bertujuan meningkatkan kapasiti sekolah serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selesa dan selamat kepada murid," menurut kenyataan itu dalam hantaran di Facebook.

Advertisement

JPNPP memaklumkan bagi daerah Seberang Perai Utara, sebanyak 13 sekolah terlibat dengan 1,336 murid menerima manfaat, merangkumi enam sekolah yang menjalani penyelenggaraan, dan naik taraf bilik darjah serta tujuh sekolah yang menerima bangunan tambahan IBS.

Menurut kenyataan itu, sekolah yang terlibat dalam naik taraf bilik darjah ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Putra, SK Tasek Gelugor, SK Padang Menora, SK Pasir Gebu, SK Mak Mandin dan SK Pinang Tunggal, manakala pembinaan bangunan tambahan IBS dilaksanakan di SK Paya Keladi, SK Bertam Indah, SK Pokok Sena, SK Sungai Dua, SK Taman Senangan, SK Lahar Yooi serta SK Desa Murni.

Advertisement

Di daerah Barat Daya pula, lima sekolah menerima penambahbaikan infrastruktur menerusi pembinaan bangunan tambahan IBS ialah SK Sungai Pinang, SK Telok Bahang dan SK Mutiara Perdana, selain pengubahsuaian serta naik taraf bilik darjah di SK Sungai Rusa dan SK Mutiara Perdana 2.

Sementara itu, di daerah Timur Laut, empat sekolah terlibat dengan dua sekolah, iaitu SK Tanjong Tokong dan SK Sungai Gelugor, menjalani penyelenggaraan serta naik taraf bilik darjah, manakala pembinaan bangunan tambahan IBS dilaksanakan di SK Tanjung Bunga dan SK Jelutong Barat.

"Bagi Seberang Perai Tengah sebanyak tiga sekolah, iaitu SK Bukit Teh, SK Macang Bubok dan SK Alma Jaya menerima bangunan tambahan IBS yang memberikan manfaat kepada 175 murid, manakala di Seberang Perai Selatan pula, empat sekolah menerima manfaat daripada dua inisiatif berkenaan.

"Ia membabitkan pembinaan bangunan tambahan IBS di SK Sungai Kechil dan SK Bandar Tasek Mutiara, manakala pengubahsuaian serta naik taraf bilik darjah dilaksanakan di SK Saujana Indah dan SK Batu Kawan," menurut kenyataan itu. 

JPNPP memaklumkan secara keseluruhan, inisiatif itu mencerminkan komitmen KPM dalam memastikan kemudahan dan kapasiti sekolah di Pulau Pinang bersedia menampung keperluan kemasukan murid baharu bagi sesi persekolahan 2027.

Usaha itu juga diharap dapat meningkatkan keselesaan warga sekolah, sekali gus menyokong penyediaan pendidikan berkualiti dan persekitaran pembelajaran yang lebih baik kepada generasi muda.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement