Ringkasan AI
- Pasukan Polis Marin Wilayah Satu menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dengan rampasan 103.798 kg syabu bernilai RM5.19 juta dan menahan empat lelaki.
- Suspek utama dipercayai dalang sindiket menawarkan upah RM12,000 setiap perjalanan membawa dadah ke Indonesia menggunakan laluan laut tanpa pintu masuk rasmi.
- Polis turut merampas bot dan kenderaan, dengan nilai rampasan keseluruhan RM5.361 juta, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
GEORGE TOWN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu menumpaskan sindiket penyeludupan dadah rentas negara apabila merampas 103.798 kilogram (kg) syabu bernilai RM5.19 juta dan menahan empat lelaki dalam operasi di perairan Tanjung Dawai serta Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pasukan operasi yang menjalankan rondaan pada 9 malam, 14 Nov lepas itu mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Sayak di perairan Tanjung Dawai.
"Apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, bot terbabit memecut laju dan melakukan beberapa pergerakan berbahaya bagi mengelak daripada ditahan.
"Bagaimanapun, pasukan kami berjaya memintas bot itu selepas mengejar selama kira-kira 90 minit dan kemudian menahan dua lelaki warga Indonesia di dalam bot tersebut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPM Wilayah Satu, di sini hari ini, yang turut dihadiri Komander PPM Bukit Aman SAC Shamsol Kassim.
Mohd Yusri berkata pemeriksaan lanjut terhadap bot itu menemukan lima guni putih mengandungi 100 bungkusan plastik berwarna keemasan berlabel "VIP 666" yang berisi syabu seberat 103.798 kg dianggarkan bernilai RM5.19 juta yang disembunyikan di dalam komponen khas bot tersebut.
Susulan penahanan itu, beliau berkata polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Kampung Sungai Layar Hujung, Sungai Petani dan menahan seorang lelaki tempatan serta seorang lelaki warga Indonesia pada 15 Nov.
"Suspek tempatan berumur 36 tahun yang mengusahakan kedai runcit dipercayai dalang utama sindiket pengedaran dadah itu dengan bertindak merancang dan menyelaras penghantaran dadah tersebut, selain menawarkan upah RM12,000 bagi setiap perjalanan membawa bekalan dadah ke Indonesia.
"Siasatan lanjut mendapati dua lelaki yang ditahan itu dipercayai telah menjalankan enam kali perjalanan menyeludup bekalan dadah dari negara ini ke negara jiran dengan menggunakan laluan laut bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa," katanya.
Mohd Yusri berkata tiga suspek warga Indonesia itu mempunyai pasport yang sah, bagaimanapun mereka dipercayai masuk ke negara ini tanpa melalui pintu masuk rasmi untuk menjalankan kegiatan penyeludupan dadah tersebut.
Polis turut merampas bot dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dengan nilai rampasan keseluruhan termasuk dadah dianggarkan RM5.361 juta, selain dadah itu boleh digunakan oleh 518,990 penagih.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian pengedaran dadah itu dan kesemua empat suspek berumur 31 hingga 36 tahun tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pasukan operasi berkenaan terdiri daripada seorang pegawai dan 18 anggota PPM Wilayah Satu, dengan sokongan Unit Risikan Marin serta bot peronda PSC 45, PSC 60 dan PIB 01.
Sementara itu, Mohd Yusri berkata PPM Wilayah Satu merekodkan 151 kes berkaitan dengan dadah dari Januari hingga November tahun ini, dengan 180 tangkapan dan nilai rampasan bahan terlarang itu sebanyak RM11.96 juta.
Secara keseluruhan, sebanyak 2,375 kes direkodkan dengan 1,462 tangkapan serta nilai rampasan termasuk sitaan bernilai RM187.99 juta.
-- BERNAMA