Skip to main content

Dunia

AS tegas tidak akan salur dana kepada WHO menerusi Gavi

51660782615_WHO.jpg
Pentadbiran Presiden Donald Trump menegaskan, Amerika Syarikat (AS) tidak akan menyalurkan dana kerajaan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi Gavi, Perikatan Vaksin. - Gambar fail
Advertisement

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump pada Rabu menegaskan, Amerika Syarikat (AS) tidak akan menyalurkan dana kerajaan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi Gavi, Perikatan Vaksin, lapor Anadolu Ajansi.

Kenyataan itu dibuat ketika Washington mengumumkan pelepasan dana berjumlah AS$600 juta yang diluluskan Kongres untuk perikatan vaksin global berkenaan.

“Amerika Syarikat turut menegaskan bahawa ia tidak akan menyediakan dana kerajaan AS kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia menerusi Gavi,” menurut kenyataan bersama Jabatan Negara dan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS).

Menurut kenyataan itu, Trump pada tahun lepas mengarahkan Setiausaha HHS, Robert F. Kennedy Jr. dan Setiausaha Negara, Marco Rubio berunding dengan Gavi mengenai pelaksanaan beberapa pembaharuan sebagai syarat untuk menyambung semula sokongan AS.

Rundingan itu menghasilkan beberapa komitmen yang menurut pentadbiran berkenaan dapat meningkatkan “keselamatan vaksin” serta menyelaraskan pendekatan Gavi dengan prinsip “Gold Standard Science”.

Berdasarkan komitmen berkenaan, Jabatan Negara memaklumkan, keseluruhan dana AS$600 juta yang diluluskan Kongres bagi tahun fiskal 2025 dan 2026 akan disalurkan serta-merta.

Menurut kenyataan itu, Gavi bersetuju bekerjasama dengan lembaga pengarahnya dan negara rakan bagi menggantikan formulasi tertentu vaksin yang mengandungi merkuri dengan alternatif bebas merkuri.

Vaksin berkenaan termasuk vaksin meningokokal A, vaksin pentavalen DTP-Hib-HepB, vaksin pneumokokal dan vaksin hepatitis B.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement