Skip to main content

Politik

[TERKINI] UMNO Negeri Sembilan hormati keputusan Ismail Lasim, tamat krisis politik negeri

Jalaluddin ketika mempengerusikan mesyuarat khas biro politik negeri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional di Wisma UMNO negeri hari ini.  - Foto Bernama
Jalaluddin ketika mempengerusikan mesyuarat khas biro politik negeri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional di Wisma UMNO negeri hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • UMNO Negeri Sembilan menghormati keputusan Datuk Ismail Lasim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar seperti dimaklumkan pimpinan Barisan Nasional.
  • Pertemuan khas diadakan bersama ADUN BN, PN dan kepimpinan UMNO negeri untuk memberi penjelasan mengenai perkembangan politik semasa.
  • UMNO menegaskan keutamaan adalah memastikan kestabilan pentadbiran negeri dan kebajikan rakyat terus terpelihara tanpa gangguan.
Advertisement

SEREMBAN: Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menghormati keputusan Datuk Ismail Lasim untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar seperti dimaklumkan pimpinan Barisan Nasional (BN) pada semalam.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaludin Alias berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai hasrat peletakan jawatan berkenaan oleh kepimpinan tertinggi parti pada malam Isnin.

Menurutnya, UMNO negeri menerima perkembangan itu dengan terbuka selain merakamkan penghargaan terhadap segala khidmat dan sumbangan Ismail sepanjang menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Advertisement

“Kami mengambil maklum dan menghormati keputusan ini dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat serta sumbangan beliau sepanjang menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

“Dalam apa jua keadaan, kepentingan rakyat tidak boleh diketepikan dan semoga Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, stabil dan sejahtera demi kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang,”katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan khas bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) serta kepimpinan UMNO negeri di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini, pada Selasa.

Jalaludin berkata, pertemuan itu diadakan bagi memberikan penjelasan mengenai perkembangan semasa politik negeri, selain memastikan semua wakil rakyat mendapat maklumat terkini berhubung situasi berkenaan.

Mengulas sama ada peletakan jawatan itu mampu menamatkan kemelut politik yang berlaku, beliau menegaskan keutamaan UMNO ketika ini adalah memastikan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri terus terpelihara.

Katanya, sebarang perubahan kepimpinan perlu diuruskan secara berhemah dan harmoni tanpa menjejaskan urusan pentadbiran serta kebajikan rakyat.

“Ya, itu memang menjadi satu pendirian kepada saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dan disokong oleh semua ahli-ahli Yang Berhormat dan juga pimpinan UMNO dan Barisan Nasional serta Perikatan Nasional.

“Kita atasi dengan baik, berhemah dan harmoni supaya kedudukan kerajaan dapat dijalankan secara lancar,” katanya.

Dalam pada itu, Jalaludin ketika diaju soal ketidakhadiran Ismail pada mesyuarat hari ini ujarnya, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Juasseh itu telah pun dijemput untuk hadir ke pertuan berkenaan.

“Beliau dijemput, mungkin beliau mempunyai beberapa urusan yang perlu diuruskan dan ada beberapa Adun juga tidak dapat hadir hari ini.

“Seorang berada di Mekah mengerjakan umrah, seorang lagi berada di Johor kerana menghadiri mesyuarat mewakili Menteri Besar, dan seorang lagi berada di luar negara juga atas urusan rasmi,”ujarnya.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kebijaksanaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam memastikan segala urusan berkaitan pentadbiran negeri diselesaikan mengikut peruntukan yang ditetapkan.
 

Must Watch Video

Advertisement